• TH Properties Menang Anugerah Antarabangsa Pembinaan Dan Reka Bentuk Hotel

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+
    Foto BERNAMA


    LONDON – Hotel dan Pusat Konvensyen Kuching TH Properties Sdn Bhd, memenangi Anugerah Antarabangsa Pembinaan dan Reka Bentuk Hotel Baharu Terbaik pada Anugerah Hartanah Antarabangsa 2017, di sini.

    Cabang pembangunan hartanah Lembaga Tabung Haji (TH) itu mengetepikan projek lain, termasuk Trump International Hotel Tower Vancouver, Kanada dan Pan Pacific London, UK.

    Pengarah Urusan Kumpulan TH Datuk Roszali Othman berkata anugerah itu mengiktiraf karya seni bina luar biasa projek itu yang juga menampilkan reka bentuk tersensiri bumbung asal Pua Kumbu.

    “Pencapaian TH Properties pada Anugerah Hartanah Antarabangsa ini membuktikan komitmennya terhadap inovasi, kualiti tinggi dan keupayaan untuk melaksanakan projek yang mementingkan perincian," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah di sini malam tadi.

    Beliau berkata anugerah itu merupakan pengiktirafan tertinggi yang telah diterima setakat ini dan menjadi asas penting dalam kemajuan yang telah dibuat oleh syarikat itu selama ini.

    "Ini meletakkan kami setara dengan pemaju lain di dunia," katanya.

    Projek itu sebelum ini juga dinobatkan sebagai pemenang Asia-Pasifik bagi kategori yang sama, yang membolehkannya bersaing untuk anugerah antarabangsa.

    Beliau berkata pengiktirafan itu menyusuli kemenangan TH Properties pada Anugerah Hartanah Asia-Pasifik di Bangkok pada Mei, dengan TH Hotel dan Pusat Konvensyen Kuching mengungguli Pembinaan dan Reka Bentuk Terbaik Hotel Malaysia.

    Pemenang lain terdiri daripada Pavilions Bay di Sydney, Australia bagi Pangsapuri Terbaik Australia dan Kompleks Islam Putrajaya bagi Pembangunan Pejabat Terbaik Malaysia.

    Anugerah anjuran International Property Media Group yang disertai 116 negara itu, memberi tumpuan kepada kualiti reka bentuk, pembinaan dan pembentangan hartanah secara individu serta pembangunan hartanah, hiasan dalaman, seni bina dan pemasaran.

    Sebanyak 1,000 penyertaan diterima daripada lebih 300 syarikat, melibatkan pelbagai jenis hartanah, yang dibahagikan kepada 10 kawasan serantau - Afrika, Asia-Pasifik, Arab, Kanada, Caribbean, Amerika Tengah dan Selatan, Eropah, UK dan AS.-- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " TH Properties Menang Anugerah Antarabangsa Pembinaan Dan Reka Bentuk Hotel "