• Tersepit Antara Lori & Pokok Kelapa Sawit

    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+

    Pemandu lori membawa muatan sawit maut selepas tersepit antara lori dan pokok kelapa sawit di ladang sawit Changkat Banjar, Tanjung Belanja, Parit, hari ini.

    Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa Raja Jalaludin Raja Abdullah, 25, dipercayai cuba mengejar untuk menaiki lori berkenaan yang dipercayai tiba-tiba bergerak ketika diparkir di kawasan ladang itu.

    Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan diparkir di ladang itu oleh mangsa sebelum mangsa turun ke kawasan ladang itu.

    "Secara tiba-tiba lori berkenaan bergerak ke hadapan menyebabkan mangsa cuba mengejar untuk menaiki lori itu.

    "Belum sempat mangsa naik, lori itu melanggar pokok sawit menyebabkan mangsa tersepit antara lori dan pokok kelapa sawit," katanya.

    Mohamad Zainal berkata, mangsa meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang selepas parah dibeberapa bahagian badan.

    Menurutnya, bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Changkat Melintang dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Tersepit Antara Lori & Pokok Kelapa Sawit "