• Terperangkap Dalam Bongkah Marmar 19 Hari

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+

    OSTEND (BELGIUM): Seorang artis terpaksa dibebaskan daripada karya seninya sendiri apabila gagal melepaskan diri daripada bongkah marmar besar berkenaan selepas 19 hari.

    Mikes Poppe yang ditambat dengan rantai besi sepanjang tiga meter pada kaki akhirnya berjaya dibebaskan menggunakan pemotong besi apabila gagal memahat objek terbabit untuk melepaskan diri seperti dirancang.

    Bongkah berkenaan sebenarnya persembahan seninya di bangunan mahkamah di Ostend, Belgium yang melihatnya makan, tidur serta membersihkan diri sambil dirantai pada bongkah batu berkenaan yang dipahat perlahan-lahan dalam usaha membebaskan diri.

    Segala aktivitinya disiarkan secara langsung menerusi YouTube.

    “Saya cuba membebaskan diri daripada batu blok ini yang menjadi simbol sejarah dan sejarah seni. Malangnya, saya mendapati ia bukan sesuatu yang mampu dilakukan dan menjadi bebanan yang saya perlu terima,” katanya.

    Kurator pameran itu akhirnya membuat keputusan muktamad untuk memotong rantai pada kaki Poppe memandangkan dia sebelum ini sudah beberapa kali melanjutkan tempoh persembahan seni berkenaan.

    Biarpun karyanya itu dianggap gagal, Poppe berkata dia langsung tidak kecewa.

    “Apapun akhirnya saya dibebaskan, dan lebih penting lagi saya berpeluang berkomunikasi dengan orang ramai.

    “Pengajarannya, anda tidak akan menang jika berperang dengan masa. Sekarang saya akan membaca komen di dalam buku tetamu dan lebih penting lagi, mahu mandi,” katanya.

    Konsep surrealisme sinonim dengan budaya di Belgium dan menggabungkan seni visual serta drama.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Terperangkap Dalam Bongkah Marmar 19 Hari "