• Tergamak Buat Susu Rumusan Bayi Tiruan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Sunday, 10 December 2017
    A- A+

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor merampas 210 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan dalam serbuan ke lima premis kedai ubatan dan serbaneka di sekitar Johor Bahru, Khamis lalu.

    Dalam Operasi Produk Tiruan yang dijalankan kira-kira 12 tengah hari di premis di Iskandar Puteri, Mutiara Rini, Taman Orkid, Nusa Bestari dan Taman Daya itu, tiga daripada lima premis itu didapati menjual susu rumusan bayi (langkah satu) terbabit pada harga sama dengan yang asli.

    Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok berkata, hasil siasatan mendapati lima premis itu adalah rangkaian perniagaan yang dimiliki syarikat berdaftar yang sama dan pemilik semua premis perniagaan iaitu lelaki berusia 50-an itu mendakwa tidak sedar mengenai susu yang disyaki tiruan berkenaan.

    "Kita menerima aduan daripada pengeluar susu berkenaan selepas mereka mendapat satu kes bayi yang muntah teruk akibat menggunakan susu jenama itu.

    "Selepas empat bulan risikan dibuat, serbuan dan pemeriksaan dijalankan dan mendapati terdapat kotak-kotak susu yang disyaki tiruan ini dijual dan dicampur dengan yang asli pada rak jualan.

    "Harga jualannya juga sama dengan pek yang asli iaitu RM200 bagi setiap pek," katanya ketika sidang media di Stor KPDNKK di Senai, hari ini.

    Beliau berkata, hasil rampasan semua kotak susu dianggar bernilai RM42,000 dan kini pihaknya masih menunggu laporan dari Jabatan Kimia bagi mengesahkan kandungan sebenar semua susu yang dirampas.

    "Berdasarkan maklumat dari pengeluar, mereka mengesyaki kandungan susu itu adalah tiruan dan mereka sendiri dapat mengecam perbezaan susu keluaran mereka walaupun pada luaran pek itu ia kelihatan sama dengan yang asli.

    "Hasil siasatan awal juga mendapati invois yang ditemui di premis itu menggunakan nama dan alamat syarikat palsu bagi mengelirukan pihak berkuasa," katanya.

    Khairul Anwar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan pihaknya percaya susulan rampasan itu dapat melumpuhkan kegiatan penjualan dan pengedaran produk susu tiruan di Johor.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Tergamak Buat Susu Rumusan Bayi Tiruan "