• Tender AssetsCo projek HSR KL-S'pura dibuka

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) dan SG HSR Pte Ltd (SG HSR) membuka tender bersama Syarikat Aset (AssetsCo) bagi projek Rel Kelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

    AssetsCo akan bertanggungjawab mereka bentuk, membina, membiayai dan menyelenggara semua tren selain mereka bentuk, membina, membiayai, mengendali dan menyelenggara semua aset rel (kerja trek, kuasa, isyarat dan telekomunikasi) bagi projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.

    AssetsCo juga akan menyelaraskan kapasiti rangkaian sistem berkenaan bagi keperluan operasi dan penyelenggaraan.

    Pembukaan tender adalah susulan persediaan menyeluruh MyHSR dan SG HSR sejak Perjanjian Dua Hala HSR Kuala Lumpur-Singapura dimeterai oleh kerajaan Malaysia dan Singapura pada Disember 2016.

    Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, berkata projek HSR Kuala Lumpur-Singapura adalah projek infrastruktur pengangkutan yang kompleks dan menyeluruh kepada kedua-dua negara.

    Beliau berkata, projek akan menjana manfaat sosio ekonomi yang besar daripada pertambahan hubungan dan kecekapan kaedah perjalanan.

    "Kami gembira dengan perkembangan setakat ini apabila proses penghantaran Seksyen 4 Akta Pengambilalihan Tanah diselesaikan, pemeriksaan umum bagi jajaran di Malaysia sedang dijalankan, Rakan Pelaksana Projek (PDP) dilancarkan baru-baru ini dan hari ini tender bersama AssetsCo dilancarkan.

    "Kami mengalu-alukan semua pihak yang berminat menghantar cadangan terbaik bagi tender AssetsCo ini," katanya dalam satu kenyataan.

    Pengarah Urusan SG HSR, Rama Venkta, berkata hari ini adalah detik penting bagi projek terbabit, yang secara ketara akan meningkatkan sambungan antara Singapura dan Malaysia.

    "Kami berbesar hati dengan maklum balas memberangsangkan daripada pasaran bagi HSR Kuala Lumpur-Singapura setakat ini.

    "Maklum balas pada dua taklimat industri amat bernilai bagi membantu kami mereka bentuk parameter bagi tender AssetsCo. Kami menanti bidaan berdaya saing yang berkualiti tinggi dalam beberapa bulan akan datang," katanya.

    Pembida mempunyai masa sehingga 29 Jun 2018 untuk menghantar cadangan kepada MyHSR Corp dan SG HSR. Taklimat tender akan diadakan di Kuala Lumpur pada 23 Januari depan.

    Melalui proses pemerolehan yang terbuka, adil dan telus, MyHSR serta SG HSR menyasar untuk memilih secara bersama pembida yang layak menjelang akhir tahun depan.

    Semua tender dihantar akan dinilai dari segi penyelesaian teknikal, kekukuhan komersial, kemampanan kewangan dan harga.

    Paling utama, tender menyasar untuk mengenal pasti AssetsCo yang akan menyediakan penyelesaian mengutamakan keselamatan, kebolehpercayaan, teknologi terbukti, keanjalan operasi, reka bentuk berpaksikan pengguna, bernilai untuk wang selain pelaksanaan projek secara usaha sama dengan MyHSR dan SG HSR.

    Semua bidaan akan dinilai berasaskan merit masing-masing.

    MyHSR Corp dan SG HSR mengalu-alukan semua syarikat, sama ada berpusat di Malaysia, Singapura atau luar negara. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tender AssetsCo projek HSR KL-S'pura dibuka "