• Temui Dadah Dalam Dua Kenderaan

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+

    ROMPIN: Polis memberkas empat lelaki dipercayai pengedar dadah termasuk seorang remaja dalam serbuan di hadapan sebuah restoran di sini, pagi kelmarin.

    Serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, jam 8.50 pagi hasil intipan dan maklumat awam.

    Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, berkata suspek berusia antara 16 hingga 27 tahun itu ditahan sebaik keluar daripada dua kenderaan dinaiki mereka dalam keadaan mencurigakan.

    "Polis menahan mereka sebaik saja keluar daripada kedua-dua kenderaan yang diletakkan di depan sebuah restoran berkenaan.

    "Hasil pemeriksaan di tempat duduk belakang sebuah kenderaan, kami menemui 15 bungkusan plastik berwarna ungu mengandungi dadah jenis heroin

    "Turut ditemui sampul surat mengandungi 20 paket aluminium disyaki dadah jenis Eramin 5," katanya dalam sidang media di IPD Rompin, hari ini.

    Azli berkata, pemeriksaan satu lagi kenderaan, pihaknya menemui dua sampul surat mengandungi ketulan dan serbuk kristal dipercayai syabu di letakkan dalam beg galas.

    Katanya, siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai mahu menjual dadah itu kepada pelanggan di Rompin.

    "Kita juga merampas wang tunai berjumlah RM5,220 dan telefon bimbit milik suspek.

    "Semakan mendapati, remaja yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah," katanya.

    Katanya, semua suspek kini direman seminggu dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Temui Dadah Dalam Dua Kenderaan "