• Teknik 'Kocakan Air' Timbulkan Mayat

    Published: Sunday, 10 December 2017
    A- A+

    Penyelia syarikat pembinaan, Ho Chun Chian, 22, yang terjatuh di Sungai Kedah berhampiran Kampung Ganding Dalam, Jalan Alor Mengkudu, di sini, semalam, ditemui lemas di sungai itu jam 5.28 petang hari ini.

    Pegawai Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, mayat mangsa ditemui terapung pada jam 5.28 petang tadi, kira-kira 10 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh semalam.

    "Anggota kita melakukan teknik 'kocakan air' menggunakan bot menyebabkan mayat yang dipercayai berada di dasar sungai sebelum itu terapung.

    "Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke hospital," katanya di lokasi.

    Operasi itu disertai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan lapan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM dari Kulim dan Sungai Petani.

    Sementara itu, bapa mendiang, Ho Kam Foo, 50, yang turut bersama anggota bomba menaiki bot untuk mencari anak sulung daripada tiga beradik itu bersyukur mayat lelaki itu ditemui.

    "Saya sanggup tak balik ke rumah di Tikam Batu, Sungai Petani dan menyewa hotel di kawasan ini kerana bimbang jasad anak ditemui dan mahu berada di sini sepanjang pencarian oleh pasukan penyelamat.

    "Kami sekeluarga juga melakukan upacara sembahyang di tokong dengan harapan anak saya ditemui secepat mungkin," katanya.

    Kam Foo dan ahli keluarga termasuk isteri, dua anak serta ibunya dilihat berada di kawasan itu sejak jam 9 pagi sambil membawa peralatan untuk upacara sembahyang di tepi sungai berkenaan.

    "Kali terakhir saya bertemu dengan Chun Chian seminggu lalu ketika kami sekeluarga keluar makan di sebuah restoran di Sungai Petani sempena menyambut hari kelahiran saya yang ke-50.

    "Dia tak banyak tunjuk perubahan sikap malah kelihatan seperti biasa dan dia seorang anak yang baik," katanya.

    Chun Chian yang juga penyelia sebuah syarikat pembinaan dilaporkan terjatuh ke sungai itu jam 11.30 pagi semalam ketika meninjau kerja merobohkan jambatan lama di kawasan itu bagi pembinaan jambatan baru.

    Ketika kejadian mangsa berada bersama seorang lagi penyelia dan seorang pekerja Myanmar, sebelum dikatakan terjatuh ke dalam sungai berkenaan ketika berbual menggunakan telefon bimbitnya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Teknik 'Kocakan Air' Timbulkan Mayat "