• Tebedu Inland Port Bakal Dihidupkan Semula – TPM

    Reporter: Admin
    Published: Thursday, 28 December 2017
    A- A+
    KUCHING: Tebedu Inland Port bakal dihidupkan semula sebagai pelabuhan darat yang maju disamping memberi manfaat kepada rakyat khususnya di Serian selain menggalakkan aktiviti di Pelabuhan Kuching.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Patinggi Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu mengambil kira potensi sempadan Tebedu – Entikong, yang mana kerajaan telah merancang mewujudkan zon perdagangan dikawasan tersebut untuk memberi manfaat ekonomi kepada penduduk kedua-dua negara.

    Menurutnya lagi, ianya merupakan lanjutan daripada Rundingan Tahunan Ke -12 antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia di Kuching pada 22 November 2017 yang lepas.

    “Rundingan tersebut telah mencapai kata sepakat untuk membuka semula aktiviti perdagangan di sempadan Tebedu – Entikomg setelah Perjanjian Sempadan (Border Trade Agreement – (BTA) dan Perjanjian Lintas Batas (Border Cross Agreement - BCA) ditandatangani oleh Malaysia dan Indonesia,” jelasnya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan rasmi ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Tebedu di Kompleks ICQS Tebedu hari ini.

    Sehubungan itu, Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ianya juga adalah selaras dengan arahan Perdana Menteri untuk menyediakan infrastruktur ICQS yang lebih baik dan setaraf dengan CIQ di Entikong Kalimantan yang dinaiktaraf oleh kerajaan Indonesia.

    “Kementerian Dalam Negeri juga akan mengkaji semua skop projek ICQS Tebedu yang diluluskan sebelum ini bagi menentukan keperluan sebenar bagi menaiktaraf atau pembinaan ICQS yang baru,” katanya lagi.

    Dalam lawatan tersebut, Zahid telah diiringi Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, menteri-menteri kabinet Sarawak dan Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan. – Sarawakiana
  • No Comment to " Tebedu Inland Port Bakal Dihidupkan Semula – TPM "