• Tebar Roti Canai Dari Myanmar Ke Bangladesh

    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    DOH yang siap diuli dilenyek, sebelum ditebar. Satu demi satu selamat 'mendarat' di atas kuali leper yang mencecah kepanasan maksima. Api diperlahankan sebelum menyambung tebaran doh lain.

    Bagaikan mengimbau keamanan di bumi Myanmar, rutin itu kini berubah lokasi.

    Muhammad Mahmood, 50, salah seorang pelarian di Kem Balukhali di sini, kini memainkan peranan berbeza.

    Pengalaman selama 15 tahun menjalankan perniagaan roti canai ketika di Myanmar dimanfaatkan dengan memberi latihan kemahiran sama kepada pelarian lain, sebagai usaha meningkatkan taraf hidup kelompok di situ.

    Usaha itu salah satu inisiatif yang digerakkan Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, menerusi dana tabung #SINAR4ROHINGYA.

    Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, ia adalah bentuk bantuan menjana ekonomi pelarian, dengan melantik Muhammad sebagai tenaga pengajar kepada wakil madrasah di kem berkenaan.

    Menurutnya, dengan dana sama, peralatan memasak dibekalkan kepada pelarian terlibat sebagai bantuan modal kepada mereka untuk menjana wang.

    “Latihan diberikan dengan mengajar mereka cara sediakan roti canai dari mula hingga masak termasuk cara memasak kuah dal.

    “Strategi jualan adalah dengan menyewa shelter di laluan utama, turut disediakan meja, kerusi, pinggan dan minuman untuk pelanggan, sama seperti di kedai makan,” katanya.

    Mohd Hakim berkata, dengan peruntukan perbelanjaan modal RM13,400 itu mampu menjana pendapatan pelarian terlibat sehingga 5,000 Taka atau RM250 sehari.

    “Sasaran jualan ialah 500 hingga 1,000 roti canai setiap hari. Jualan ialah 5 Taka setiap keping. Ini bermakna setiap hari boleh jana pendapatan 2,500 hingga 5,000 Taka bersamaan RM125 hingga RM250," katanya.- SinarHarian

    Subjects:

  • No Comment to " Tebar Roti Canai Dari Myanmar Ke Bangladesh "