• Tapak Seluas 5.8 Ekar Bina Pusat Ecumenical Kristian Miri Diluluskan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    MIRI: Permohonan tapak pembinaan Pusat Ecumenical Kristian Miri melibatkan tanah seluas 5.8 ekar daripada Persatuan Gereja- Gereja di Sarawak (ACS) telah diluluskan kerajaan negeri melalui Majlis Perancangan Negeri.

    Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg merasmikan Perarakan Hari Krismas di Dataran Kipas malam kelmarin.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya, permohonan tersebut diluluskan semasa mesyuarat pada 24 November lalu.

    “Kerajaan negeri bukan sekadar membantu institusi agama-agama lain dengan pemberian dana projek sahaja.

    “Malahan kerajaan negeri turut mempertimbang permohonan tapak bagi tujuan keagamaan seperti bangunan rumah ibadah, tapak perkuburan dan kemudahan infrastruktur bagi aktiviti penganut agama lain,” kata Abang Johari dalam teks yang dibacakan Uggah.

    Katanya, setelah siap kelak, lebih kurang 120,000 masyarakat Kristian pelbagai denominasi di sini dapat menjalankan upacara dan aktiviti keagamaan seperti kursus, seminar dan pelbagai aktiviti lain dengan lebih selesa.

    Sementara itu, beliau turut memaklumkan pada tahun ini, sebanyak 77 permohonan dana daripada pelbagai institusi agama-agama lain di Sarawak bagi projek pembinaan, penambahbaikan dan baik pulih rumah-rumah ibadah telah diluluskan melibatkan dana berjumlah RM15 juta.

    Manakala, sebanyak 12 permohonan di seluruh Miri telah diluluskan melibatkan dana berjumlah RM3.02 juta iaitu 11 permohonan daripada institusi agama Kristian pelbagai denominasi dan satu permohonan daripada institusi agama Sikh. – Sarawakiana
  • No Comment to " Tapak Seluas 5.8 Ekar Bina Pusat Ecumenical Kristian Miri Diluluskan "