• Tambang Pengangkutan Awam Jakarta 3 Jam RM1.50

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 23 December 2017
    A- A+

    JAKARTA – Satu sistem baharu untuk pembayaran tanpa wang tunai sedang giat diuji di seluruh ibu kota Indonesia, yang dijangka mampu mengurangkan kos tambang pengangkutan awam tempatan.

    Media setempat melaporkan, program khas bersepadu yang bakal dimulakan pada tahun depan itu sebenarnya bertujuan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas teruk di pusat bandar raya Jakarta sejak sekian lama.

    Ia secara tidak langsung akan menyaksikan pengalaman penumpang menaiki kenderaan pengangkutan awam yang lebih mudah dan dijamin agak murah menerusi ‘sistem-satu-tambang’ tanpa wang tunai tidak lama lagi.

    “Pembayarannya bakal diintegrasikan. Dengan begitu maka warga Jakarta harapannya kelak bisa (dapat) naik kenderaan umum di mana saja berada dan untuk pergi ke mana saja,” kata Gabenor Jakarta, Anies Baswedan.

    Dikenali sebagai ‘satu tiket, satu perjalanan’, atau Ok-Otrip, warga kota dapat menggunakan pelbagai kaedah pengangkutan awam dengan hanya perlu membayar 5,000 rupiah (RM1.50) untuk tempoh perjalanan tiga jam.

    Tambang lebih murah itu dijangka turut meliputi rangkaian kereta api aliran massa (MRT) yang sedang dibina termasuk projek dua laluan terowong bawah tanah dengan 13 stesen dan jarak sepanjang 110 kilometer.

    Pihak berkuasa Jakarta berharap skim tambang bersepadu itu dapat dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2020 sekali gus menggalakkan warga setempat memilih pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian.

    Ia juga diharapkan dapat menyuraikan masalah kesesakan teruk jalan raya seluruh Jakarta yang dianggarkan telah mengakibatkan kerugian mencecah 67 trilion rupiah (RM20 bilion) setiap tahun. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Tambang Pengangkutan Awam Jakarta 3 Jam RM1.50 "