• Tak Adil Bandingkan RCI Forex Dengan 1MDB

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Adalah tidak adil bagi pihak tertentu, khususnya pembangkang cuba membandingkan isu kerugian urus niaga mata wang asing (forex) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an, dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia berikutan kerugian forex bernilai kira-kira RM30 bilion itu, sudah dibuktikan sebagai kehilangan sebenar dan bukan kehilangan atas kertas semata-mata.

    Katanya, kerugian itu dibuktikan menerusi Laporan Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing (RCI) Oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an yang dibentangkan di Parlimen minggu lalu, berbanding 1MDB yang masih disiasat pihak berkuasa.

    "Saya baca banyak komen pembangkang. Tidak adil untuk bandingkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI mengenai urus niaga forex) itu dengan 1MDB.

    "RCI itu adalah kehilangan sebenar dan bagi saya, biar polis jalankan siasatan (terhadap laporan RCI).

    "Saya harap siasatan itu menunjukkan apa sebenarnya berlaku kepada negara kita dalam aspek kehilangan kewangan yang begitu besar dalam skandal forex," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

    Pada 30 November lalu, laporan RCI mengenai urus niaga forex dibentangkan di Parlimen, antara lain menyifatkan wujud asas mengesyorkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kemungkinan berlaku pecah amanah dan penipuan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika urus niaga forex pada 1990-an.

    Suruhanjaya yang memulakan prosiding pada 8 Ogos lalu, juga berpendapat wujud asas mengesyorkan PDRM melaksanakan siasatan rasmi kemungkinan pecah amanah dan/atau penipuan oleh Menteri Kewangan ketika itu, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim (1991 hingga 2 September 1998) serta Tun Daim Zainuddin (14 Julai 1984 hingga 15 Mac 1991), disamping pegawai BNM, Kementerian Kewangan dan Jabatan Audit Negara.

    Suruhanjaya siasatan ditubuhkan berikutan dakwaan bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid pada 26 Januari 2017 bahawa bank pusat itu mengalami kerugian AS$10 bilion pada awal 1990-an, di mana jumlah berkenaan lebih besar daripada yang dilaporkan oleh BNM. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tak Adil Bandingkan RCI Forex Dengan 1MDB "