• Syor wajib ujian saringan talasemia digalakkan dalam Islam

    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Cadangan mewajibkan ujian saringan talasemia ke atas bakal pengantin adalah digalakkan di dalam agama.

    Ini selaras dengan agama Islam yang menggalakkan untuk mencari jodoh dari keturunan yang sihat bagi mencegah penyakit yang diwariskan kepada generasi akan datang.

    Saringan itu hanya sebagai panduan kepada pasangan dalam memutuskan sama ada untuk meneruskan niat berkahwin atau sebaliknya.

    Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, berkata Islam tidak menghalang cadangan itu dilaksanakan sekiranya ia membawa kebaikan kepada bakal pengantin dan keturunannya.

    "Sekiranya didapati keduanya sebagai pembawa talasemia, tidak mengapa sekiranya enggan meneruskan perkahwinan.

    "Lelaki atau wanita yang menjadi pembawa talasemia masih boleh mencari pasangan yang lebih sesuai," katanya yang dihubungi di sini, hari ini.

    Katanya, agama juga tidak menghalang sekiranya pasangan masih ingin meneruskan perkahwinan tetapi masing-masing perlu menerima hakikat dan reda dengan takdir serta tidak boleh menyalahkan antara satu sama lain di kemudian hari.

    Pasangan suami isteri yang menjadi pembawa juga boleh merancang keluarga sekiranya keduanya bersetuju bagi mengelakkan melahirkan zuriat dengan talasemia.

    BH hari ini melaporkan kerajaan diminta mewajibkan ujian saringan bagi mengesan pembawa talasemia ke atas semua pasangan sebelum mereka mendirikan rumah tangga seperti ujian saringan HIV dilaksanakan kepada pasangan yang ingin berkahwin di negara ini.

    Cadangan itu dikemukakan wakil pelbagai persatuan talasemia dalam usaha mengawal dan mengurangkan risiko kelahiran bayi dengan penyakit berkenaan.

    Saringan itu memberi peluang dan sebagai garis panduan kepada pasangan untuk menentukan sama ada mereka ingin meneruskan perkahwinan atau sebaliknya.

    Presiden Persatuan Talasemia Selangor, Abdul Razak Mahmood, dipetik sebagai berkata ujian saringan talasemia sebelum berkahwin sewajarnya dilakukan seperti ujian saringan HIV.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Syor wajib ujian saringan talasemia digalakkan dalam Islam "