• Syarikat Pakaian China Saman Apple Atas Dakwaan Pelanggaran Hak Cipta Logo

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+


    BEIJING -- Sebuah syarikat pakaian dari China menyaman gergasi telekomunikasi Apple atas dakwaan pelanggaran hak cipta berkaitan logo Apple App Store yang baharu, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sebuah mahkamah di Beijing pada Selasa.

    Syarikat pakaian yang menggunakan jenama KON itu mendakwa logo Apple App Store menyamai logonya, yang digunakan sebagai tanda niaga dagangan sejak 2011 dan telah didaftar pada 2012, demikian menurut Mahkamah Rakyat Daerah Dongcheng di Beijing, yang telah menerima saman tersebut.

    KON menuntut ganti rugi berjumlah 100,000 yuan (kira-kira US$15,200), satu perintah injunksi terhadap penggunaan logo itu oleh gajet seperti iPhone dan iPad serta permohonan maaf daripada Apple secara terbuka.

    Kedua-dua logo menampilkan rekaan kayu yang saling bertindih dan membentuk segi tiga.

    Apple telah menggantikan logo lama, yang terdiri daripada sebatang pensil, pembaris dan berus lukisan, dengan reka bentuk terkini yang digunakan pada peranti iOS dan MacOS tahun ini.

    Kon mendakwa kedua-dua logo kelihatan serupa jika dilihat oleh pelanggan biasa.

    Dilancarkan pada 2009, KON merupakan sebuah syarikat pakaian yang berpangkalan di Beijing dan menyasarkan golongan muda sebagai pelanggan.

    Syarikat itu mendakwa rekaan logo berkenaan diilhamkan oleh penyanyi Johnny Rotten dari band punk British iaitu The Sex Pistols.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Syarikat Pakaian China Saman Apple Atas Dakwaan Pelanggaran Hak Cipta Logo "