• Syarikat Korea Jual Kubu Bawah Tanah

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+

    SEOUL: Ujian peluru berpandu Korea Utara mungkin menakutkan rakyat Korea Selatan tetapi sebuah syarikat memberi sedikit kelegaan dengan menjual kubu bawah tanah peribadi.

    Syarikat Sistem Kubu Bawah Tanah Chumdan baru-baru ini membuka bilik pameran menjual kubu peribadi berharga £20,000 (RM110,200) yang mampu menahan serangan nuklear.

    Kubu itu dilengkapi empat katil tetapi boleh diubah suai menjadi lapan, sistem penapisan udara dan panel solar untuk kuasa.

    Pemiliknya Go Wan Hyeok berkata, pasukan jualannya bergelut untuk memenuhi permintaan orang ramai sejak Pyongyang melancarkan ujian peluru berpandu dan nuklear baru-baru ini.

    Kontena itu turut dilengkapi generator automatik bagi menyalurkan elektrik sehingga sebulan, peti sejuk, komputer dan periskop untuk memeriksa keselamatan sebelum keluar.

    Pek catuan kering yang direka untuk angkasawan NASA juga dibekalkan termasuk topeng gas dan sut bagi melindungi diri daripada hujan asid.

    Bukan itu saja, terdapat tandas kimia, beg pancuran mandian serta sinki bagi memudahkan bahan buangan disalirkan ke luar tanpa perlu mendedahkan diri.

    Kubu itu boleh dihantar ke mana-mana dan ditanam di bawah tanah seperti di kawasan rumah pembeli.

    Menurut Go, dia memulakan syarikat itu September lalu selepas membuat penyelidikan di beberapa negara untuk mencipta kubu berkenaan.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Syarikat Korea Jual Kubu Bawah Tanah "