• Syamsul risau isu susu tiruan

    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+


    SHAH ALAM: Sejak menjadi bapa, pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof, berkata dirinya mudah terkesan dengan berita berkaitan bayi, termasuk isu terkini membabitkan susu tiruan.

    Beliau berkata, sebagai bapa dirinya bagaikan panik dan risau apabila mengetahui mengenai isu terbabit, memaksanya membuat pemeriksaan berhubung perkara itu dengan isterinya, Puteri Sarah Liyana.

    "Naluri sebagai bapa memang lain. Kalau dulu saya mungkin tidak peka, tetapi kali ini saya risau apabila mendengar dan terbaca berita mengenai perkara sebegini.

    "Saya memang terus hubungi isteri dan bertanyakan mengenai perkara itu. Mujur anak saya mengambil susu yang berbeza," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton trailer filem Makrifat Cinta, di sini.

    Bukan setakat itu, Syamsul, 33, mengakui sejak kehadiran bayi sulungnya, Syaikhul Islam, lapan bulan, beliau perlu bijak membahagikan masa antara kerja dan keluarga.

    Katanya, jika sebelum ini beliau boleh menghabiskan masa berjam-jam di pejabat, kini dirinya tidak lagi berbuat demikian apabila fikiran turut terarah kepada si kecil di rumah.

    "Walaupun perlu memastikan tidur yang cukup dan kerja pula dapat disiapkan, penat macam mana sekalipun, apabila balik ke rumah saya akan luangkan masa dengan Syaikhul.

    "Sebagai bapa, saya perlu memberikan perhatian kepada anak dan saya tidak mahu terlepas detik indah ketika dirinya membesar," kata Syamsul.

    Dalam pada itu, katanya, beliau turut menyanjung isterinya, apatah lagi selepas wanita itu melahirkan anak mereka.

    "Saya tengok Sarah seorang yang kuat semangat. Setiap hari sebelum keluar bekerja, saya selalu berpesan kepadanya untuk menjaga anak kami dengan baik.

    "Saya sangat menghargai apa yang dilakukan Sarah untuk keluarga kami. Sudah semestinya, saya sentiasa memberi sokongan kepadanya," katanya.

    Sementara itu, Syamsul ditampilkan memegang watak utama dalam filem Makrifat Cinta, bergandingan dengan Nabila Huda dan Nora Danish. Filem berkenaan akan mula menemui penonton di pawagam pada 1 Februari depan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Syamsul risau isu susu tiruan "