• Susu bayi Lactalis tak masuk Malaysia

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan produk susu bayi keluaran syarikat LNS Lactalis Group yang disyaki dicemar Salmonella baru-baru ini tidak dieksport ke Malaysia.

    Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Noraini Datuk Mohd Othman berkata, pengguna di negara ini tidak perlu khuatir kerana pihaknya sudah mendapatkan pengesahan daripada Jaringan Antarabangsa Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan (INFOSAN) di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kedutaan Perancis di Malaysia berhubung isu berkenaan.

    "Malah, berdasarkan maklumat daripada Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) di bawah KKM, tiada sebarang pengimportan bagi produk berkenaan ke negara ini.

    "Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, KKM mengenakan larangan import terhadap produk terbabit berkuatkuasa 11 Disember lalu," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, hari ini.

    Katanya, KKM mengambil maklum berita bertajuk 'France’s Lactalis orders baby milk recall over salmonella fears' yang disiarkan pada 10 Disember lalu oleh berita antarabangsa France 24.

    "Laporan berita berkenaan menyatakan syarikat LNS Lactalis Group bersama Pihak Berkuasa Kesihatan Perancis mengeluarkan arahan penarikan balik produk susu bayi yang disyaki terbabit dengan pencemaran salmonella dari pasaran antarabangsa," katanya.

    Menurutnya, salmonella adalah sejenis mikroorganisma patogenik yang boleh menyebabkan cirit birit, demam dan kesakitan abdomen.

    Beliau berkata, dalam kes tertentu ia boleh menyebabkan kematian terutama kepada golongan berisiko seperti bayi, orang tua atau individu yang mempunyai sistem imuniti rendah.

    "KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

    "Oleh itu, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan

    Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di http://www.facebook.com/bkkmhq," katanya.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Susu bayi Lactalis tak masuk Malaysia "