• Suspek kes culik ditembak mati

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+


    LELAKI disyaki terbabit dalam kes culik untuk tebusan (KFR) ditembak mati oleh pasukan keselamatan di perairan berhampiran Pulau Kalungan, Lahad Datu, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, suspek berusia 30-an disyaki warga Filipina maut di lokasi kejadian akibat parah di bahagian tubuh.

    Pasukan keselamatan turut menemui senjata api jenis shot gun dan beberapa butir peluru.

    Menurut sumber, ketika kejadian, pasukan keselamatan sedang menjalankan rondaan berhampiran lokasi kejadian sebelum terserempak dengan bot dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

    "Ketika dihampiri, lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan dan memecut bot dipandunya.

    "Pasukan keselamatan kemudian melepaskan tembakan beberapa kali. Selepas itu, pasukan keselamatan melakukan pemeriksaan dan mendapati lelaki itu mati dengan kesan tembakan," katanya.

    Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

    "Satu sidang media berhubung perkara ini akan diadakan di Ibu Pejabat ESSCOM Lahad Datu pada 2 petang ini," katanya.

    Suspek dipercayai terbabit dalam kejadian penculikan di Pulau Baik, Lahad Datu, dan Sangkar Ikan Sapang, Kunak, pada 2014.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Suspek kes culik ditembak mati "