• Susah Nak Percaya Dia Seludup Senjata!

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+

    Pemuda rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa lapangan terbang Pakistan, Jumaat lalu dianggap seorang yang pendiam dan kurang bergaul dengan jirannya.

    Jiran lelaki terbabit berkata, lelaki berusia 20 tahun itu seorang yang baik walaupun kurang bercampur dengan rakan sebaya ketika menetap di rumahnya di Semariang, di Petra Jaya, Sarawak.

    Menurutnya, lelaki terbabit dan keluarganya sudah berpindah ke Miri sejak dua hingga tiga tahun lalu dan kediaman itu kini didiami bapa saudara suspek.

    "Kami terkejut selepas membaca berita tangkapan lelaki terbabit yang tular di media sosial dan disiarkan media arus perdana beberapa hari lalu.

    "Berdasarkan wataknya yang pendiam dan kurang bergaul, tidak sangka dia cuba untuk menyeludup senjata api dan peluru," katanya ketika ditemui, hari ini.

    Tinjauan Harian Metro mendapati rumah berkenaan tidak berpenghuni dan difahamkan dijadikan bengkel besi beberapa tahun lalu.

    Dia yang enggan dikenali berkata, rumah berkenaan hanya dijenguk bapa saudara lelaki terbabit beberapa kali sebulan kerana dia turut mempunyai kediaman lain sekitar Kuching.

    Pemuda terbabit sebelum ini diberkas ketika cuba menyeludup keluar empat pistol, lapan kelopak peluru dan 70 peluru yang disembunyikan di dalam bagasi dan tapak kasutnya.

    Portal berita tempatan Pakistan The Express Tribune melaporkan lelaki terbabit menggunakan pesawat Thai Airways TG 342 penerbangan ke Bangkok, Thailand, sebelum ditahan di lapangan terbang ketika pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa lapangan terbang.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Susah Nak Percaya Dia Seludup Senjata! "