• Suri Rumah Hina Nabi Dipenjara Enam Bulan, Denda RM15,000

    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+


    IPOH - Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000 dan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah menghina nabi di dalam sebuah masjid di sini tahun lalu.

    Majistret Siti Hanum Md. Sah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Tham Yut Mooi,46, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

    Mengikut kertas pertuduhan, Yut Mooi didakwa mengeluarkan kata-kata menghina Nabi Muhammad yang didengari oleh tiga individu iaitu Abdul Rahim Mat Diah, 53, Mohd. Yunus Harun,72, dan Mohd. Halim Buyong, 43, dengan niat yang disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan.

    Perbuatan tersebut dilakukan di ruang solat Masjid Ubaidah, Ulu Kinta dekat sini kira-kira pukul 5.30 petang pada 4 Mei 2016.

    Pertuduhan terhadap Yut Mooi dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab manakala tertuduh diwakili peguam bela, Chiang Woei Chien.

    Siti Hanum turut menetapkan tambahan hukuman penjara selama sembilan bulan sekiranya Yut Mooi gagal membayar denda yang ditetapkan.

    Mahkamah juga membenarkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap tertuduh ditangguhkan sehingga rayuan kes tersebut selesai dengan menetapkan syarat tambahan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport Yut Mooi diserahkan kepada mahkamah. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Suri Rumah Hina Nabi Dipenjara Enam Bulan, Denda RM15,000 "