• Sudah Empat Korban Kekejaman Israel

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    Korban bantahan tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitukmaqdis sebgai ibu negara Israel meningkat kepada empat orang, termasuk dua maut akibat serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, semalam.

    Jumaat lalu, dua penduduk Palestin terbunuh akibat ditembak anggota keselamatan Israel di Khan Yunis, Gaza.

    Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin, 25 lagi cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak akibat bedilan jet pejuang Israel terhadap kedudukan yang didakwa kemudahan tentera Hamas, pada subuh semalam (waktu tempatan)

    Al-Jazeera melaporkan, jurucakap kementerian itu, Dr Ashraf al-Qidra, berkata mayat dua pejuang Hamas itu ditemui di pusat latihan Briged al-Qassam di selatan Bandar Gaza.

    Mereka dikenali sebagai Mahmoud al-Atal, 28, dan Mohammed Safadi, 30.

    Israel mendakwa melancarkan serangan itu berikutan serangan roket dari Gaza terhadap wilayahnya, Sderot.

    Jumaat lalu, Mahmoud al-Masri, 30, menjadi penduduk Palestin pertama maut ditembak tentera Israel ketika menyertai bantahan di Gaza.

    Tentera Israel mengesahkan ia menembak dua ‘perusuh ganas Palestin’ di Khan Yunis, selepas mengenal pasti mereka sebagai ketua kumpulan perusuh ganas. Lelaki kedua meninggal dunia semalam.

    AFP melaporkan, selepas empat hari Amerika Syarikat mengiktiraf Baitukmaqdis sebgai ibu negara Israel, semakin banyak bantahan oleh penduduk Palestin diadakan di Tebing Barat dan Gaza.

    Pasukan Bulan Sabit Merah Palestin menyatakan 191 cedera di Tebing Barat dan 60 lagi di Gaza akibat tembakan peluru getah dan peluru hidup, dibelasah oleh tentera Israel serta gas pemedih mata manakala puluhan lagi ditahan.

    Bantahan berkemungkinan menjadi lebih besar selepas pemimpin Hamas Ismail Haniya menyeru intifada baru.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Sudah Empat Korban Kekejaman Israel "