• Suarakan Bantahan Di Depan Masjid Al Aqsa

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Saturday, 23 December 2017
    A- A+

    "Alhamdulillah, kami dapat bersama penduduk setempat dan umat Islam di seluruh pelusuk dunia berdemonstrasi untuk menyatakan bantahan.

    "Saya dapat lihat, semangat rakan-rakan Palestin khususnya yang begitu istiqamah mempertahankan Al Quds sebagai kota suci umat Islam," kata Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), Mohd Johari Ismail.

    Beliau bersama 20 orang aktivis Muslim Care berada di Kompleks Al Aqsa Baitulmaqdis untuk misi kemanusiaan sejak beberapa hari lalu, berpeluang menyertai demonstrasi di hadapan Masjid Al Aqsa.

    Katanya, keadaan di sekitar kompleks itu begitu tegang dengan kawalan keselamatan yang ketat oleh pihak berkuasa terutama selepas Baitulmaqdis menjadi tumpuan dunia ekoran pengumuman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenai pemindahan ibu negara Israel.

    "Keadaan nampak tertekan. Pelawat serta rakyat Palestin sendiri yang ingin beribadat di Masjid Al Aqsa perlu melapor diri terlebih dulu.

    "Penduduk di sini berdemonstrasi secara aman setiap selepas solat Jumaat, menyatakan bantahan dan harapan mereka berhubung isu itu.

    "Saya dapat lihat tentera berkawal di setiap pintu masuk termasuk di Masjid Buraq. Tiada apa yang boleh rakyat Palestin lakukan, melainkan meluahkan perasaan mereka menerusi demonstrasi itu," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Suarakan Bantahan Di Depan Masjid Al Aqsa "