• Suami isteri miliki 4 pistol

    Published: Thursday, 7 December 2017
    A- A+

    GEORGETOWN: Polis menahan tiga orang termasuk sepasang suami isteri dipercayai pengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Idaman, Simpang Ampat, dekat sini, semalam.

    Dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi itu, polis menemui dadah dipercayai jenis heroin seberat 573.9 gram dan ketamin seberat 26.7 gram serta empat pistol separa automatik, 151 peluru pelbagai jenis dan tiga gari.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata ketika serbuan, pasangan suami isteri berusia lingkungan 30-an dan seorang wanita berusia 59 tahun berada di dalam rumah berkenaan.

    "Pasangan suami isteri terbabit dipercayai tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadi pengedar dadah di kawasan sekitar Seberang Perai Selatan (SPS), sejak beberapa bulan lalu.

    "Polis masih menyiasat kemungkinan suspek menyamar sebagai anggota penguat kuasa kerana memiliki senjata api, gari dan peluru dalam jumlah yang banyak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

    Empat pistol separa automatik yang ditemui adalah dari jenis Barreta, Colt MFG, Compact Cz 75D, Cz 2075 bersama peluru pelbagai saiz.

    Mohmad berkata, semakan mendapati suspek lelaki mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan jenayah sekitar negeri ini.

    "Semua dadah yang ditemui bernilai kira-kira RM11,500 dan polis turut menyita dua kenderaan serta jam tangan dianggarkan bernilai RM34,700.

    "Semua suspek direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 7 dan 8 Akta Senjata Api dan Seksyen 89 Akta Polis," katanya.-BHonline

    Subjects:

  • No Comment to " Suami isteri miliki 4 pistol "