• 'Study Group' Raih Keputusan Cemerlang PT3

    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+
    KUCHING, 14 Dis (Bernama) -- Sekumpulan pelajar tingkatan tiga di Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah di sini memperoleh keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) hasil 'study group' yang mereka wujudkan khusus bagi menghadapi peperiksaan berkenaan.

    Sebahagian besar pelajar dalam study group itu memperoleh keputusan cemerlang 10A termasuk Abang Nurazizan Abang Azahari, 15 tahun, anak bongsu daripada enam beradik.

    Bercita-cita menjadi jurutera, mengikut jejak ayahnya ataupun seorang doktor, Abang Nurazizan berkata beliau dan rakan-rakan dalam kumpulan itu saling bertukar-tukar maklumat berkaitan pelajaran menerusi pesanan WhatsApp.

    "Kami juga sering pergi ke perpustakaan dan belajar bersama-sama serta bertukar-tukar maklumat untuk mendapat keputusan cemerlang dan akhirnya usaha ini membuahkan hasil yang sangat bernilai," kata Abang Nurazizan kepada Bernama.

    Ditanya apakah cabaran dihadapi sebelum menduduki peperiksaan PT3, Abang Nurazizan berkata pada mulanya, dia bimbang kerana tidak mempunyai motivasi yang secukupnya, tetapi pihak sekolah telah berusaha menjemput beberapa pakar motivasi dan telah memberi perubahan yang besar kepada dirinya.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada individu yang telah menyokongnya terutama sekali ibu bapa beliau, keluarga dan rakan-rakan.

    "Saya juga amat berterima kasih kepada guru-guru yang telah bersusah payah mengadakan kelas tambahan setiap petang, di samping mendorong saya dengan memberi cara pembelajaran yang efektif.

    "Secara jujurnya saya tidak mempunyai jadual khas untuk belajar dan tidak pernah mengikuti kelas tuisyen di luar sekolah kerana saya yakin dengan kemampuan guru-guru di sekolah untuk mengajar saya," kata Abang Nurazizan. -- BERNAMA
  • No Comment to " 'Study Group' Raih Keputusan Cemerlang PT3 "