• SPRM Tidak Pernah Terima Arahan Daripada PM

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad semalam menegaskan bahawa suruhanjaya itu tidak pernah menerima sebarang tekanan politik termasuk arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahupun barisan kabinet beliau berhubung siasatan yang dijalankan.

    Sambil menafikan tuduhan kononnya SPRM dikongkong dan terpaksa mengikut telunjuk pemimpin negara, beliau berkata perdana menteri sebaliknya memberi kuasa penuh kepada suruhanjaya itu untuk menyiasat sesiapa sahaja.

    “Tidak pernah sama sekali perdana menteri memberi apa-apa arahan supaya tidak mengambil tindakan atau ambil tindakan terhadap mana-mana pihak... tiada pengaruh luar dan tidak pernah ada menteri yang beri tekanan untuk tolong individu tertentu.

    “Malah, perdana menteri memberi SPRM kuasa sepenuhnya untuk mengambil tindakan terhadap siapa sahaja yang kami fikirkan perlu disiasat dan diambil tindakan. Kami di SPRM akan pastikan (mereka) yang khianati rakyat akan diheret ke muka pengadilan,” katanya.

    Beliau memberitahu demikian semasa menjawab soalan dalam sesi ‘Rasional Memerangi Rasuah’ pada Sidang Kemuncak Pemerkasaan Milenia (MES) 2017 anjuran Biro Pelajar Luar Negara (BPLN) Umno di sini, semalam.

    Ketika ditemui pemberita kemudian, Dzulkifli menafikan bahawa SPRM hanya menyiasat salah laku dan rasuah di sektor awam tetapi tidak memberi tumpuan sama terhadap sektor swasta dan kerajaan negeri.

    “SPRM tidak terikat untuk menyiasat mana-mana sektor, hanya penekanan sahaja diberikan kepada sektor awam kerana kurang maklumat yang diterima dari sektor swasta… mungkin jumlah kes sama banyak atau lebih daripada sektor awam.

    “Sebab itu, kita harap masyarakat terutamanya mereka yang berkaitan dalam sektor swasta agar tampil membuat aduan dan menyalurkan maklumat bagi membolehkan kita mengambil tindakan,” katanya semasa diminta mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya SPRM turut menyiasat sektor swasta dan kerajaan negeri.

    Terdahulu, dalam sesi tersebut, Dzulkifli berkata negara memerlukan akta untuk mengawal dana politik dan akta berkaitan pengisytiharan harta bagi memastikan semua pemilikan dibuat secara telus.

    SPRM juga sedang menjalankan kajian mengenai Akta Pendedahan Kewangan, katanya sambil memberitahu bahawa ia tidak seharusnya terpakai kepada ahli politik semata-mata dan perlu merangkumi penjawat awam.- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " SPRM Tidak Pernah Terima Arahan Daripada PM "