• SPR akan senaraikan wakil calon 'hilang'

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+

    SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan pihaknya akan menyenaraikan mana-mana wakil calon yang tidak berada di setiap saluran ketika proses pengundian dan pengiraan undi berlangsung.

    Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, ia bagi mengelak sebarang tuduhan dilemparkan terhadap badan itu apabila calon bertanding kalah.

    “Ini saya nak tegaskan, pada masa dahulu kita tak ambil berat mengenai calon wakil ada atau tidak. Tetapi bermacam tuduhan dilemparkan sedangkan wakilnya tidak ada ketika proses pengundian dan pengiraan undi berlangsung. Kali ini saya ingin siarkan wakil calon yang ada atau tidak ada di satu-satu kawasan.

    “Apabila pengiraan diadakan, wakil calon akan sahkan setiap helai kertas undi. Bila dah masuk dalam tong, kita ikat dan ada Borang 14 yang mana jumlah keseluruhan undi dan jumlah diterima setiap calon yang mewakili parti itu juga ada serta ia turut disahkan oleh wakil calon. Kamu nak usung dan sampai naik kereta polis, Borang 14 itu sudah ada sebagai bukti,” katanya ketika pertemuan dengan Sinar Harian di Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

    Katanya, SPR tidak mempunyai halangan jika ada pihak yang mahu tidur bersama tong kertas undi dalam lokap.

    “Itu di luar bidang kuasa kita, nak masuk lokap mereka perlu berurusan dengan pihak polis kerana mungkin ada prosedur yang perlu dipatuhi,” katanya.

    Menurutnya, SPR akan menggunakan khidmat pemerhati antarabangsa pada PRU 14 nanti.

    “Kita dah kenal pasti pemerhati ini terutama melibatkan negara Asean dan mereka yang pernah menjemput kita untuk menjadi pemerhati di negara mereka sewaktu berlangsung pilihan raya. pemerhati ini bukan untuk mencari kesalahan atau mendakwa mana-mana pihak atas apa-apa kesalahan. Kita terima laporan mereka untuk menambah baik kekurangan.

    “Saya pernah menjadi pemerhati pilihan raya di beberapa negara ketika pilihan raya, orang kurang upaya (OKU) dan mereka memerlukan bantuan untuk ke sesuatu lokasi, pegawai pilihan raya mereka bawa tong buang undi itu ke rumah. Cuba di negara kita buat macam itu, apa akan berlaku?” soalnya.

    Ditanya adakah SPR bersedia jika PRU 14 akan diadakan pada bila-bila masa beliau berkata, pihaknya sentiasa bersedia.

    “Setakat hari ini, dari sudut petugas, kita kenal pasti seramai 250,000. Kita kena ingat PRU sampai ke kawasan pedalaman dan telah beri kursus sejak dari dahulu lagi agar tidak berlaku kecacatan sewaktu berlangsung (PRU).

    “Dari segi logistik pula, kita bersiap sedia dengan kertas undi walaupun belum ada cetakan mana-mana parti di atasnya kerana cetakan ini adakan dibuat selepas penamaan calon,” katanya.

    Ditanya mengenai anggaran perbelanjaan SPR bagi PRU 14 nanti, beliau menyatakan kira-kira RM380 juta diperuntukkan bagi proses pilihan raya.-SH

    Subjects:

  • No Comment to " SPR akan senaraikan wakil calon 'hilang' "