• Solidariti Pertahan Baitulmaqdis Jumaat Ini: TPM

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh rakyat, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersolidariti mempromosikan keamanan pada perhimpunan besar-besaran di Masjid Putra, di sini Jumaat ini bagi mempertahankan Baitulmaqdis.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, perhimpunan itu dilihat sebagai pentas bagi semua pihak termasuk NGO dan parti politik pelbagai 'warna' untuk memanifestasi solidariti mereka dalam isu berkenaan.

    "Kita tidak ada hubungan diplomatik dengan Tel Aviv atau Israel, kita menghormati hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) tetapi apabila hak kota suci umat Islam diceroboh dengan hasrat untuk melenyapkan sirah kota suci Islam, Kristian dan agama Yahudi Orthodox asal, ertinya rejim Israel cuba memadamkan sejarah.

    "Kita di Malaysia dengan masyarakat berlatarbelakangkan komposisi kaum, budaya dan agama yang berbeza tidak pernah mempromosikan perbezaan tetapi kemajmukan masyarakat harus dipertahankan.

    "Justeru, saya seru seluruh rakyat pelbagai agama, pemimpin politik dan NGO ketepikan perbezaan dalam kalangan kita bagi mempromosikan keamanan dalam perhimpunan solidariti pada Jumaat ini," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

    Perhimpunan itu akan disertai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan menyampaikan ucaptama, selain ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan wakil NGO Islam.

    Pada sidang medianya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) turut menyatakan persetujuan untuk menghadiri perhimpunan berkenaan.

    Katanya, difahamkan setakat ini seramai 10,000 orang akan menghadiri perhimpunan berkenaan dan beliau harap jumlah yang hadir akan terus bertambah.

    "Program akan bermula jam 12 tengah hari iaitu dimulakan dengan forum disertai enam panel jemputan yang akan diadakan di dalam masjid.

    "Selepas itu diikuti khutbah Jumaat yang turut akan menyentuh mengenai Baitulmaqdis disusuli solat Jumaat dan solat hajat selepas itu," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Solidariti Pertahan Baitulmaqdis Jumaat Ini: TPM "