• SMA Dilancarkan, Kawal Selia 8 Sektor Ekonomi Digital Sarawak

    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+
    KUCHING: Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) akan bertindak sebagai pihak berkuasa utama untuk mengawasi dan mengawal selia strategi dan inisiatif ekonomi digital di negeri ini.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri tidak ada pilihan selain mengukuhkan strategi pembangunannya untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi bagi mengatasi cabaran ekonomi global.

    Menurutnya, ianya penting terutama dengan kemunculan ekonomi digital yang didorong oleh kemunculan kemajuan teknologi dan kuasa yang menggerakkan revolusi digital.

    "Sarawak perlu menerima dan menakluki era baru digitalisasi, dan menjadikan ekonomi digital untuk terus berkembang maju demi kesejahteraan rakyat.

    "Justeru kerajaan telah melaksanakan beberapa strategi digital untuk menjana peluang yang belum diterokai, inovasi dan mencipta nilai untuk semua," katanya

    Beliau berkata, sehubungan itu kerajaan negeri telah membangunkan lapan (8) sektor ekonomi untuk Ekonomi Digital Sarawak yang merangkumi Pertanian, Pembuatan, Pelancongan, Bandar Pintar, Kesihatan Digital, e-Perdagangan, Kerajaan Digital, Sukan, Sosial, Seni dan Budaya.

    “Ini disokong oleh tujuh (7) pembolehubah yang terdiri daripada Infrastruktur Digital, Kemahiran Digital dan Pembangunan Bakat, Penyelidikan dan Pembangunan, Inovasi Digital dan Keusahawanan, Digital dan Data, Keselamatan Siber, dan Keterangkuman Digital.

    “Dengan strategi dan pelan tindakan yang komprehensif ini, saya sangat yakin membawa ekonomi digital kita bergerak ke arah yang betul,” ujarnya

    Beliau berkata demikian ketika melancarkan Sarawak Multimedia Authority (SMA) sempena Hari Perkhidmatan Awam di sini hari ini.

    SMA merupakan badan pusat yang akan mengawasi dan mengawal selia strategi dan inisiatif digital di negeri ini.

    Ditubuh melalui Ordinan Lembaga Multimedia Negeri yang telah diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada November 2017.

    SMA diketuai Ketua Menteri sebagai Pengerusi, tiga orang anggota ex officio, iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Negara dan Setiausaha Kewangan Negeri dan tidak kurang dari lima dan tidak lebih daripada tujuh anggota lain yang mempunyai pengalaman, pengetahuan atau kepakaran dalam komunikasi dan multimedia. – Sarawakiana
  • No Comment to " SMA Dilancarkan, Kawal Selia 8 Sektor Ekonomi Digital Sarawak "