• SKR1M Inisiatif Kerajaan Tingkat Kualiti Akses Internet Di Sarawak

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 18 December 2017
    A- A+

    KUCHING : Sistem kabel dasar laut, Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SKR1M) yang dilancarkan hari ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk meningkat dan menambah baik kualiti akses internet di Sarawak.

    Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg berkata dengan penyediaan sambungan rangkaian teras oleh SKR1M itu, lebih ramai pengguna akan dapat menikmati gaya hidup digital sepenuhnya, di samping meningkatkan lagi usaha ke arah pembangunan ekonomi digital.

    Beliau berkata ia akan memberikan manfaat besar kepada penduduk di sini dalam aspek transformasi ekonomi digital, dan kerajaan akan meningkatkan sinergi serta kerjasama dengan pemain industri bagi menyediakan infrastruktur yang diperlukan, bagi meningkatkan ketersambungan internet dalam negeri.

    Berucap pada majlis pelancaran SKR1M oleh Telekom Malaysia Bhd (TM) di sini hari ini beliau berkata kerajaan negeri cukup komited dalam memacu ekonomi digital kerana ia dilihat mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri dengan lebih pantas.

    SKR1M merupakan hasil usahasama Awam-Swasta (PPP) antara TM dan kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM), yang dibangunkan dengan objektif bagi mempertingkatkan sambungan kabel dasar laut domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, khusus bagi memenuhi keperluan pertumbuhan jalur lebar pada masa depan.

    Sistem kabel dasar laut yang baharu ini adalah sepanjang lebih 3,800km dengan kapasiti awal 4 Terabit, dibangun menggunakan teknologi 100 Gbps yang canggih yang boleh dinaik taraf kepada kapasiti reka bentuk sekurang-kurangnya 12.8 Tbps, dan ia mendarat di enam lokasi -- Mersing, Kuching, Bintulu, Miri, Kota Kinabalu dan Kuantan.

    Turut hadir Pengerusi TM Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman dan Ketua pegawai Operasi SKMM Datuk Dr Mazlan Ismail. - Bernama
  • No Comment to " SKR1M Inisiatif Kerajaan Tingkat Kualiti Akses Internet Di Sarawak "