• Sistem baharu ganti PSV Januari 2018

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Sistem baharu menggantikan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) bagi mewujudkan persaingan saksama antara Uber, Grab dan teksi dijangka dimuktamadkan seawal Januari, tahun depan.

    Rundingan antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menjadi sebahagian daripada 11 inisiatif program e-panggilan itu mencakupi beberapa pindaan kaedah tatacara pemberian lesen beroperasi untuk ketiga-tiga pengendali perkhidmatan berkenaan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata langkah itu susulan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 yang diluluskan di Dewan Rakyat, Julai lalu.

    Katanya, siri pindaan itu tidak perlu dibentangkan di Parlimen, tetapi hanya diwartakan selepas rundingan dengan Kementerian Pengangkutan selesai dilaksanakan.

    "Sebaik pindaan ini selesai, Uber, Grab dan teksi tiada lagi perbezaan dan mereka boleh bersaing untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam secara saksama kepada pengguna," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

    Semalam, Mahkamah Tinggi Kesatuan Eropah (EU) memutuskan untuk memihak kepada plaintif, iaitu sebuah syarikat persatuan teksi Sepanyol bahawa Uber ialah syarikat pengangkutan biasa dan bukan berteraskan aplikasi, justeru ia perlu mematuhi undang-undang berkaitan.

    Keputusan yang disifatkan 'kejayaan sosial' terhadap Uber itu diyakini berupaya menangani peningkatan tindakan melanggar undang-undang didalangi penyedia perkhidmatan berpangkalan di Amerika Syarikat berkenaan.

    Mengulas perkembangan itu, Nancy berkata, Malaysia mempunyai acuan tersendiri dalam menggubal dasar bersesuaian untuk mengawal selia perkhidmatan Uber dan Grab yang semakin mendapat permintaan dalam kalangan generasi muda.

    Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak mahu industri perkhidmatan teksi negara tercicir daripada arus kemodenan yang menyaksikan operasi pengangkutan awam kini dilaksana berteraskan penggunaan aplikasi telefon pintar.

    Sehubungan itu, katanya, pelbagai inisiatif dirangka bagi memastikan daya saing penyedia perkhidmatan yang dinobat 'duta kecil negara' berkenaan berada setaraf dengan operator Uber dan Grab.

    "Pemandu teksi masih kekal sebagai penyedia perkhidmatan membawa pelanggan yang komited dengan kerjayanya di Malaysia, namun mereka memerlukan anjakan cara pengoperasian supaya selari kehendak pasaran semasa," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Sistem baharu ganti PSV Januari 2018 "