• Sindiket Kini Lebih Kreatif Hasilkan Dadah Sintetik

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Berikutan lambakan dadah sintetik baharu di pasaran dan sindiket beralih kepada cara lebih inovatif untuk menarik penagih sebanyak yang mungkin, masalah dadah menjadi lebih bahaya berbanding sebelum ini, kata Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.

    Lam Thye berkata dalam satu kenyataan di sini hari ini bahawa ada dadah sintetik yang boleh mengubah pengguna dadah itu menjadi “zombi” dan bahan psikoaktif baharu boleh menghasilkan halusinasi yang lebih bahaya dan pengguna dadah menjadi lebih aktif, agresif dan gila.

    Lam Thye menegaskan bahawa generasi muda memainkan peranan penting dalam memerangi dadah sambil menambah anggota masyarakat harus bertindak sebagai mata dan telinga pihak berkuasa untuk membantu menangani masalah itu.

    “Masanya sudah tiba bagi setiap kita memainkan peranan untuk membantu menyelamatkan Malaysia daripada gejala penyalahgunaan dadah dengan menggunakan pendekatan yang inovatif dan holistik,” katanya.

    Beliau berkata ia bukan masalah kecil kerana dadah sintetik boleh dihasilkan dengan hanya mempelajari pembuatannya melalui Internet, oleh itu ia menjadi lebih sukar untuk ditangani dan hanya boleh dibanteras melalui kerjasama rapat dengan setiap pihak yang berkaitan.

    “Kita perlu ingat bahawa selain menghancurkan kehidupan mangsa dan ahli keluarga, ketagihan dadah juga boleh menimbulkan pelbagai masalah seperti jenayah, masalah sosial dan penularan penyakit seperti AIDS dan Hepatitis,” kata beliau. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Sindiket Kini Lebih Kreatif Hasilkan Dadah Sintetik "