• Sikap Pandikar Bercanggah Dengan Keterbukaan PM Najib

    Published: Thursday, 7 December 2017
    A- A+
    Sikap serta hasrat Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menafikan hak Sarawak serta mahu berdebat berkenaan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilihat jauh bercanggah dengan keterbukaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu perkara itu dibawa ke meja rundingan dengan menubuhkan pasukan khas.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Perdana Menteri sendiri bersetuju bahawa hak serta kepentingan Sarawak malahan Sabah yang terhakis akan diberi balik kepada kedua-dua negeri.

    Malah menurutnya, tindakan Pandikar itu bercanggah dengan kemahuan serta keinginan rakyat Sabah untuk mendapatkan hak mereka di bawah MA63.

    “Pandikar merupakan pemimpin dari Sabah, dan kita tahu bahawa Sabah juga mahu menuntut hak mereka di bawah MA63 tetapi Pandikar bercanggah dengan kemahuan orang Sabah dalam perkara ini.

    “Ia juga bercanggah dengan persetujuan Perdana Menteri yang berkali menyatakan bahawa beliau bersedia mengembalikan hak serta kepentingan Sarawak dan Sabah yang terhakis sama ada sengaja atau tidak,” katanya dipetik sebagai berkata.

    Beliau yang juga pemangku timbalan presiden PBB berkata, biar apa pun kata Pandikar, hak Sarawak hak serta kepentingan yang terhakis telah dipersetujui Perdana Menteri untuk dirunding dan pemimpin negeri akan terus memperjuangkannya. - Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Sikap Pandikar Bercanggah Dengan Keterbukaan PM Najib "