• SIC Sasar Dapatkan Beberapa Penaja Untuk Hafizh

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Sunday, 24 December 2017
    A- A+

    SEPANG – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) merancang mendapatkan beberapa penaja bagi pelumba Pasukan SIC Racing, Hafizh Syhrin untuk bersaing pada Kejuaraan Moto2 Dunia 2018.

    Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata pasukan itu mengubah strategi pamasarannya dengan menandatangani perjanjian bersama beberapa penaja kecil, bukan dengan satu penaja utama sahaja seperti sebelum ini.

    “Kami sedang berbincang dengan beberapa syarikat, termasuk satu dari Jepun…tidak semestinya kami perlu mempunyai penaja utama semata-mata, mungkin juga beberapa penaja kecil atau rakan lain.

    “Saya rasa baik juga kalau ada banyak penaja, nanti mereka berpeluang berganding bahu dengan pelumba tempatan serta mendapat pendedahan di peringkat dunia. Kami akan buat pengumuman semasa pelancaran pasukan ini pada 20 Feb depan selepas ujian pramusim,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis ‘SIC Motorsports Freeday’ di sini hari ini.

    Pasukan SIC Racing Moto2, yang ditubuhkan khusus bagi membolehkan Hafizh Syahrin bersaing dalam MotoGP pada 2019, dahulunya dikenali sebagai Petronas Sprinta Racing, sebelum Petronas menarik diri sebagai penaja untuk memberi fokus kepada pembangunan Moto3 dan Cub Prix, sekali gus menyaksikan SIC terpaksa mencari penaja baharu.

    Petronas, bagaimanapun kekal sebagai penaja utama pasukan Petronas Sprinta Racing Moto3 yang diurus SIC, dengan pelumbanya terdiri daripada Adam Norrodin dari Malaysia dan Ayumu Sasaki dari Jepun.

    Razlan juga mengesahkan SIC akan menjadi tuan rumah perlumbaan kedua terakhir Kejuaraan MotoGP Dunia 2018 pada 4 Nov, serta pusingan akhir Siri Le Mans Asia dari 2 hingga 4 Feb depan.

    “MotoGP akan kekal sebagai acara kemuncak kami pada 2018, di samping menjadi tuan rumah beberapa acara lain, termasuk acara sukan permotoran dan bukan permotoran. Kami juga merancang melakukan beberapa penambahbaikan seperti memasang lampu supaya trek ini boleh disewa untuk acara pada waktu malam,” katanya.

    Sementara itu, Hafizh Syahrin, 24, kini bersedia sepenuhnya untuk memulakan kempen dalam Moto2 2018 dengan meletakkan sasaran menduduki kelompok lima teratas dalam kejuaraan itu selepas berpisah dengan Petronas Raceline, setelah bersama-sama pasukan itu selama empat tahun.

    “Tahun depan pasti mencabar kerana Razlan menetapkan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) bagi saya dengan berada dalam kelompok lima pelumba teratas dan mencatat lebih banyak kejayaan untuk meraih kedudukan podium. Sasaran saya pula ialah untuk muncul pelumba terbaik Malaysia dalam Moto2. Saya yakin mampu mencapai sasaran itu,” katanya.

    Hafizh Syahrin menampilkan prestasi cemerlang pada Moto2 2017 sehingga berjaya meraih kedudukan podium di Misano dan Motegi serta menduduki tempat ke-10 keseluruhan dengan mengumpul 106 mata pada musim itu. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " SIC Sasar Dapatkan Beberapa Penaja Untuk Hafizh "