• SIC Cari Penaja Baharu Untuk Moto2 Musim Depan

    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – SIC Racing Team akan mendapatkan penaja baharu bagi kategori Moto2 berikutan Petronas tidak lagi menaja kategori berkenaan pada perlumbaan MotoGP musim depan.

    Bagaimanapun, Petronas masih mengekalkan tajaan dalam kategori Moto3, yang menampilkan pelumba negara Adam Norrodin dan pelumba Jepun Ayumu Sasaki yang akan bersaing bersama pasukan yang dikenali sebagai Petronas Sprinta Racing pada musim 2018.

    Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali dalam kenyataan hari ini menjelaskan bahawa Petronas telah memutuskan untuk memberi fokus kepada program pembangunan khususnya dalam kategori Moto3 dan pencarian bakat baharu untuk penyertaan dalam perlumbaan di peringkat remaja dunia.

    “Petronas telah menukar fokus mereka kepada pembangunan junior khususnya kepada Moto3 dan kejohanan remaja dunia. Mereka menggunakan platform ini untuk tolong kita cari pelapis untuk menggantikan pelumba seperti Adam dan Hafizh Syahrin jika mereka berdua sertai kategori lebih atas, seperti Adam ke Moto2 dan Hafizh ke MotoGP.

    “Kita kena cari pelapis untuk menggantikan mereka. Setakat ini, kita tidak ada pelapis yang boleh sertai kejohanan remaja dunia atau ke Moto3. Oleh sebab itu Petronas ubah fokus mereka untuk sokong SIC cari bakat muda dan pelapis untuk kedua-dua pelumba ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjelaskan situasi sebenar ekoran keputusan yang dibuat oleh Petronas untuk tidak lagi menaja kategori Moto2 yang melibatkan pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah untuk musim depan.

    Dalam pada itu, Razlan memberi jaminan meskipun masih belum mempunyai penaja untuk kategori Moto2, program latihan serta kelengkapan yang telah disusun untuk Hafizh Syahrin bagi menghadapi musim 2018 tetap akan berjalan seperti yang dirancang sebelum ini.

    “Persiapan untuk Hafizh Syahrin tidak akan terjejas. Ia tetap akan berjalan seperti yang dirancangkan termasuk membabitkan kelengkapan jentera, jurutera dan sebagainya. Hanya penjenamaan sahaja yang akan bertukar dan nama pasukan akan kekal sebagai SIC Racing Team,” katanya.

    Pada Oktober lepas, Petronas dan SIC menjalin kerjasama strategik untuk membentuk pasukan Petronas Sprinta Racing, iaitu sebuah pasukan baharu yang dibentuk untuk beraksi dalam kelas Moto2 dan Moto3 pada perlumbaan MotoGP musim depan.

    Kerjasama itu juga merupakan tanda komitmen jangka panjang dalam membangunkan bakat baharu kerana ia menyediakan platform untuk pelumba motosikal bergerak ke kejohanan antarabangsa daripada kejohanan tempatan menerusi SIC, yang mempunyai sumber dan pengalaman dalam menguruskan pasukan lumba.

    Kerjasama itu akan melengkapi usaha Program Pembangunan Bakat Petronas dan Program Pembangunan Bakat SIC (SICTD) untuk membimbing bakat di masa depan daripada kejohanan Malaysian Cub Prix, Asia Road Racing dan Asia Talent Cup untuk membina kerjaya dalam kejohanan Moto2 dan Moto3. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " SIC Cari Penaja Baharu Untuk Moto2 Musim Depan "