• Siasatan Polis Mampu Rungkai Isu Tanah FELDA

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Sunday, 24 December 2017
    A- A+

    KAMPUNG GAJAH: Pergerakan Pemuda UMNO yakin tindakan dan siasatan pihak polis mampu merungkaikan seterusnya menyelesaikan isu kehilangan hak milik tanah FELDA di kawasan strategik di ibu negara, dengan segera.

    Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun, berkata pergerakan itu juga mahu mereka yang terbabit menerima tindakan undang-undang jika siasatan polis berjaya membuktikan wujud unsur penipuan dalam transaksi itu.

    "Pemuda UMNO juga yakin dengan kepemimpinan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad untuk membantu menyelesaikan kes berkenaan dengan segera.

    "Nilai tanah itu bukan sedikit dan jangan pandang mudah perkara berkenaan, justeru kepemimpinan FELDA wajar mengambil tindakan segera menyelesaikannya," katanya kepada pemberita merasmikan program Kembali Ke Sekolah di sini, hari ini.

    Khamis lalu, BH melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, di ibu kota, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

    Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

    Berikutan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat transaksi pindah milik tanah yang didakwa mencurigakan itu termasuk tidak menolak kemungkinan memanggil bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi membantu siasatan.

    Mohd Isa adalah Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Nor Rashid Ibrahim, dilaporkan berkata satu pasukan khas sudah diwujudkan selain mengesahkan menerima laporan daripada pengurusan FELDA yang dibuat pada 12 Disember lalu di Balai Polis Tun HS Lee berhubung isu berkenaan.

    Khairul Azwan meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan pihak polis.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai kedudukan Mohd Isa yang masih berdiam diri berhubung isu itu, sebaliknya meminta semua pihak menyerahkan sepenuhnya kepada polis melakukan siasatan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Siasatan Polis Mampu Rungkai Isu Tanah FELDA "