• Siasatan Forex Makan Masa Panjang-KPN

    Published: Sunday, 3 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Siasatan kes kerugian urus niaga mata wang asing (forex) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an dijangka mengambil masa yang panjang berikutan memerlukan penelitian.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, memandangkan laporan rasmi berhubung kes itu baru diterima pada Khamis lalu, pihaknya masih belum memanggil mana-mana pihak untuk memberikan keterangan.

    “Sebelum kita boleh panggil sesiapa untuk diambil keterangan, kita perlu teliti semua maklumat yang diserahkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terlebih dahulu.

    “Tak perlulah mana-mana pihak menyebut nama sesiapa yang perlu disiasat kerana itu kerja polis dan kita tahu bagaimana untuk menjalankan siasatan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Tenis dan Silat Piala Ketua Polis Negara 2017 di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.

    Pada Khamis lalu, RCI mengesyorkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kemungkinan berlakunya pecah amanah dan penipuan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam skandal berkenaan.

    Laporan oleh RCI itu yang diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen menyatakan, adalah tidak dapat diterima kemungkinan Dr. Mahathir tidak mempedulikan masalah yang dihadapi oleh BNM berdasarkan kenyataan pelbagai saksi. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Siasatan Forex Makan Masa Panjang-KPN "