• Si Tanggang Moden Kena Reman

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+

    Polis menahan lelaki berusia 48 tahun selepas menumbuk ibunya sendiri kerana gagal mendapatkan ganti rugi sebanyak RM40,000 yang dilaburkan untuk mengubah suai rumah ibunya di Simpang Tiga Ulu Dedap, Kampung Gajah, Bota semalam.

    Dalam kejadian 10.45 pagi, mangsa berusia 67 tahun yang tidak bekerja berada di rumah sebelum didatangi anak lelakinya itu.

    Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, anak lelaki mangsa datang ke rumah untuk meminta duit berjumlah RM40,000 sebagai ganti rugi rumah yang sudah diubah suai olehnya.

    Menurutnya, anak lelaki mangsa sebelum ini tinggal bersama mangsa namun selepas berkahwin lelaki itu dikatakan berubah perangai sebelum mangsa menghalaunya keluar dari rumah.

    “Anak lelaki mangsa memarahi dan meminta duitnya namun mangsa mengatakan dia tiada duit.

    “Malah, lelaki itu turut menyuruh mangsa memberikan sewa bendang peninggalan arwah suami mangsa yang diusahakan seorang lagi anak lelaki mangsa serta hasil duit sewa itu kepadanya.

    “Berikutan itu, lelaki terbabit yang juga anak sulung tidak puas hati dan menumbuk muka mangsa di bahagian kiri sebanyak dua kali sehingga menyebabkan pipi dan lidah mangsa bengkak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurut Mohamad Zainal, suspek turut mengambil parang dan mengugut ibunya dengan mengatakan "nyawa kome aku ambil, ingat!" sebelum beredar dari rumah.

    “Suspek ditahan pada jam 6.30 petang di Jejawi dan turut dirampas sebilah parang yang digunakan ketika mengugut ibunya.

    “Suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Si Tanggang Moden Kena Reman "