• Seorang Maut Kenderaan Dihanyutkan Arus Deras

    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+



    LIMBANG : Seorang wanita maut apabila kenderaan yang dinaikinya hanyut dibawa arus deras ketika melalui jambatan Bakol Jalan Kubong di sini awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi, mangsa Norsiah Yusok, 52, bersama suami yang memandu proton persona ketika melalui Jambatan Bakol telah gagal mengawal kenderaan akibat arus deras.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pemandu telah berusaha menghidupkan enjin kenderaan untuk bergerak dari kedudukan arus deras, namun cubaan untuk menghidupkan enjin telah gagal menyebabkan mangsa hanyut dibawa arus bersama-sama kenderaan tersebut.

    “Mangsa dan suami telah berjaya keluar dari kenderaan yang dinaiki, bagaimana pun keadaan air yang melimpah dan arus deras menyebabkan mangsa hanyut ke dalam hutan yang berhampiran,” katanya

    Beliau berkata, pihaknya telah menggerakkan aset dan keanggotaan sebaik sahaja menerima laporan, dan pasukan menyelamat berjaya menjumpai kenderaan milik pasangan terbabit pada jam 3.30 pagi.

    "Sejurus penemuan petunjuk tersebut, kerja-kerja menyelamatkan mangsa dimulakan setelah mendapat maklumat daripada seorang mangsa kejadian iaitu suaminya yang memberitahu isterinya telah dihanyutkan air ke dalam hutan berhampiran jalan tersebut," ujarnya.

    Mangsa berjaya ditemui oleh pasukan Bomba dan penduduk Kampung Bakol kira-kira jam 5.00 pagi. - Sarawakiana
  • No Comment to " Seorang Maut Kenderaan Dihanyutkan Arus Deras "