• Semak status pengelola umrah di portal i-Umrah

    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+


    PENDANG: Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) menasihatkan umat Islam menyemak maklumat status agensi pengelola umrah melalui portal i-Umrah jabatan itu terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

    Ketua Pengarah, Ahmad Musadad Sulaiman, berkata ia bagi membendung masalah penipuan pakej umrah yang semakin berleluasa dan membabitkan ramai mangsa terutamanya golongan kurang berkemampuan.

    Portal itu, menyediakan maklumat seperti senarai agensi pengelola umrah yang sah, boleh dilayari melalui laman web http://intranet.jawhar.gov.my/umrah/index.php, katanya kepada BERNAMA selepas merasmikan Program JAWHAR Bersama: "Bersama Santuni Masyarakat" di Kampung Pondok Chegar di sini.

    i-Umrah ialah sebuah portal yang dibangunkan khas bagi menyalurkan maklumat mengenai agensi-agensi pengelola umrah yang sah sebagai rujukan dan panduan kepada bakal-bakal jemaah umrah negara ini.

    Secara asasnya, portal ini menyediakan maklumat-maklumat seperti senarai agensi pengelola umrah yang sah bagi menguruskan perjalanan jemaah umrah Malaysia dan butiran mengenai syarikat pengelola umrah seperti nama syarikat, nombor telefon dan faksimili.

    Ahmad Musadad berkata, statistik Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia merekodkan kerugian berkaitan penipuan umrah lebih RM21 juta membabitkan 3,482 kes dari 2012 hingga Oktober tahun lalu.

    Beliau tidak menolak kemungkinan kebanyakan kes penipuan itu berlaku disebabkan oleh sikap jemaah yang mahu pakej terlalu murah tanpa menyelidiki latar belakang sesebuah syarikat.

    "Kerajaan sudah menetapkan harga lantai bagi pakej umrah sebanyak RM4,900 dan mana-mana harga yang lebih rendah daripada itu adalah meragukan dan tidak boleh dipercayai.

    "Berhati-hatilah dalam pembelian pakej umrah dan kalau ditawarkan bawah harga lantai RM4.900, siasat dahulu, ...kalau rasa ragu-ragu pilihlah syarikat dan agensi yang telah terbukti berwibawa dalam urusan berkaitan umrah ini agar urusan berkaitan visa juga berjalan lancar," katanya.

    Ahmad Musadad berkata, umat Islam juga perlu berurusan dengan ejen pelancongan berdaftar dan mempunyai lesen dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi pengendalian umrah agar tidak mudah tertipu dengan pihak tidak bertanggungjawab.

    Terdahulu, seramai 500 asnaf fakir miskin dan pelajar sekolah di daerah Pendang menerima bantuan berupa barangan keperluan dapur, wang zakat serta pakaian seragam sekolah pada majlis itu. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Semak status pengelola umrah di portal i-Umrah "