• Selepas 6 Bulan 6 Hari Kendali Harimau Malaya, Vingada 'Angkat Kaki'

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+

    Jodoh Nelo Vingada bersama Harimau Malaya hanya bertahan enam bulan, enam hari apabila jurulatih dari Portugal itu mengambil keputusan melepaskan jawatan disandangnya berkuatkuasa serta-merta, hari ini.

    Vingada berkata, keputusan itu dibuat atas dasar tanggungjawab selepas gagal membantu Harimau Malaya meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan kendaliannya.

    “Selepas mengadakan perbincangan dengan Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya dengan ini bertanggungjawab di atas prestasi pasukan kebangsaan.

    “Atas rasa tanggungjawab dengan apa yang berlaku, saya dengan ini mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan berkuat kuasa serta-merta dan presiden sendiri turut menerima keputusan ini.

    “Saya berharap dan berdoa agar bola sepak Malaysia kembali bersinar selepas ini. Saya berbangga kerana dapat menjadi sebahagian warga bola sepak Malaysia biarpun dalam tempoh yang agak singkat ini,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan FAM.

    Mengikut jejak Vingada adalah dua pembantunya, Joao Arnaldo Correia De Carvalho (penolong jurulatih) dan Francisco Jose Bruto Da Costa (jurulatih kecergasan).

    Vingada yang turut digelar ‘The Professor’ dilantik secara rasmi pada 15 Mei tahun ini dan terus mengetuai pasukan menentang Lubnan dalam aksi kelayakan Piala Asia.

    Hanya satu keputusan seri 1-1 menentang Hong Kong di kelayakan Piala Asia 2019 menjadi mata tunggal diraih Vingada sepanjang tujuh perlawanan diharunginya.

    Kekalahan 1-4 kepada Korea Utara dalam dua perlawanan kelayakan di Buriram, Thailand awal bulan lalu jadi keputusan paling buruk dicatatkan Vingada sekali gus menyaksikan anak buahnya gagal melayakkan diri ke pusingan akhir.

    Aksi Harimau Malaya selepas ini adalah menentang Lubnan di tempat lawan, Mac tahun depan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Selepas 6 Bulan 6 Hari Kendali Harimau Malaya, Vingada 'Angkat Kaki' "