• Sektor Perladangan Dan Komoditi Perlu Ramai Pekerja

    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Generasi muda digalakkan menceburi sektor perladangan dan komoditi yang kini memerlukan sekurang-kurangnya 54,000 tenaga kerja dalam industri berkenaan.

    Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, ketika ini terdapat seramai 538,000 pekerja dalam sektor komoditi di negara ini dengan 207,000 daripadanya tenaga kerja tempatan manakala selebihnya warga asing.

    "Sehubungan itu, usaha menggalakkan tenaga kerja tempatan dalam industri ini amat penting untuk memastikan sektor perladangan menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

    "Pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan ke arah itu termasuk mewujudkan kursus kemahiran bagi meningkatkan pembabitan belia tempatan dalam sektor perladangan dan komoditi," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Sijil Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), di sini hari ini.

    Turut hadir, Pengerusi Pemegang Amanah IMPAC merangkap Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Kushairi Din.

    Seramai 726 peserta menamatkan kursus anjuran IMPAC dan MPOB dan memperoleh sijil IMPAC sekali gus mampu membantu menjayakan transformasi sektor perladangan dan komoditi.

    Siew Keong berkata, sektor perladangan dan komoditi memerlukan tenaga kerja tempatan yang berpengetahuan dan kemahiran bagi meningkatkan produktiviti negara.

    Sehubungan itu, kursus separa mahir dan mahir perlu diperbanyakkan khususnya dalam sektor perladangan kelapa sawit, getah dan perkayuan terutama bagi penghasilan perabot.

    "Eksport sektor komoditi bagi Januari hingga September lalu ialah sebanyak RM105 bilion, iaitu peningkatan 18 peratus berbanding RM88 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

    "Bagi tempoh sama juga sektor sawit menjadi penyumbang terbesar, iaitu RM58 bilion, diikuti getah RM24 bilion dan perkayuan RM17 bilion," katanya.

    Beliau berkata, dari segi nilai eksport bersih, sektor komoditi sebenarnya penyumbang terbesar kepada jumlah eksport bersih negara dengan kedudukan di hadapan sektor elektrik dan elektronik serta gas dan petroleum.

    "Sektor komoditi terus mencatatkan prestasi memberangsangkan di mana keluasan tanaman komoditi meningkat kepada 6.9 juta hektar," katanya.

    IMPAC antara pusat latihan pekerja sektor perladangan dan komoditi yang sudah melatih 53,111 sejak ditubuhkan lima tahun lalu.

    "Malah IMPAC menjangkakan 78,000 peserta dalam kalangan belia dilatih menjelang 2020," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Sektor Perladangan Dan Komoditi Perlu Ramai Pekerja "