• SEB Perluas Inisiatif Perlaburan Bantu Keperluan Pendidikan Di Batang Ai

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+


    KUCHING: Dalam memastikan keperluan pendidikan belia di Sarawak terus terjamin satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Tabung Amanah Bakun (BCT).

    SEB telah memperluaskan lagi inisiatif perlaburannya terhadap keperluan pendidikan belia Sarawak amnya dengan memberi sumbangan dana sebanyak RM200,000 sebagai geran permulaan untuk Tabung Pendidikan Batang Ai.

    Ia akan digunakan untuk memberi insentif serta biasiswa kepada pelajar yang layak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

    Memetik laporan Utusan Borneo hari ini, hasil tandatangan MoU berkenaan adalah bagi menandakan kolabosi antara SEB dengan BCT yang bertujuan memajukan sosioekonomi komuniti menerusi asas pendidikan yang kukuh.

    BCT telah diwakili oleh pengerusinya merangkap Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing manakala SEB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SEB Sharbini Suhaili.

    Antara sekolah-sekolah yang akan mendapat manfaat daripada Dana Pendidikan Batang Ai ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Antu, SK Nanga Delok, SK Ulu Engkari, SK Nanga Tibu, SK Sebangki, SK Skarok dan SK Batang Ai.

    Manakala bagi pendidikan tinggi, ia bakal memberi manfaat kepada pelajar yang layak di 48 rumah panjang dari penempatan semula dan Hulu Batang Ai.

    Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata, Jawatankuasa Dana Pendidikan Batang Ai akan dipengerusikan Menteri Muda Industri dan Pelaburan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai Malcolm Mussen Lamoh.

    Sehubungan itu, Masing menzahirkan rasa bertuah dan berterima kasih kerana dana tahunan yang diterima adalah untuk permulaan bagi tahun hadapan.

    Sementara itu CEO SEB Sarbini Suhaili berkata, pendidikan dan golongan belia merupakan fokus utama program pelaburan sosial SEB.

    “Kami (SEB) komited membangunkan kerjasama dan inisiatif-inisiatif strategik yang akan membantu memacu pembangunan keupayaan di negeri ini terutama di kawasan serta untuk masyarakat yang terjejas secara langsung akibat pelaksanaan projek kami.

    “Kerjasama kami dengan Tabung Amanah Bakun bermula sejak MoU ditandatangani pada 2015. MoU hari ini melanjutkan kerjasama dengan Tabung Amanah Bakun untuk memberi manfaat kepada masyarakat di Batang Ai selari dengan aspirasi mereka,” katanya.

    Tambahnya, SEB berharap dapat bekerja secara proaktif dengan pemegang kepentingan dan mengembangkan faedah daripada inisiatif pelaburan sosial itu kepada komuniti yang terjejas kerana projek pertama hidroelektrik SEB, iaitu Loji Hidroelektrik Batang Ai.-Sarawakiana
  • No Comment to " SEB Perluas Inisiatif Perlaburan Bantu Keperluan Pendidikan Di Batang Ai "