• 'Saya Diherdik & Dihalau Bagaikan Anjing Kurap'

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    Hati bapa mana yang tidak terkilan apabil anak kandung yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, ditatang bagaikan minyak yang penuh, bertindak mencemuh dan menyisihkannya daripada kehidupan mereka.

    Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki berusia 83 tahun, Daut @ Md Kassim Jali. Bukan sahaja kepercayaan yang diberikannya selama ini disia-siakan, malah dia yang juga pernah berhempas pulang menyara kehidupan mereka sekeluarga itu diherdik dan dihalau bagaikan anjing kurap oleh anak-anak kandungnya dan kini dia terpaksa menagih simpati untuk hidup.

    Daut yang mendakwa dirinya dianiaya oleh tujuh anak kandungnya itu berharap mereka menyerahkan semua aset-asetnya yang bernilai lebih RM4 juta.

    Difahamkan, Daut dahulu hidup serba mewah dengan perniagaan tiga buah stesen minyak, ladang ternakan ayam seluas 10 ekar dan dua ladang tanaman sawit, memberi kepercayaan sepenuhnya kepada tujuh anaknya yang berusia 41 tahun hingga 58 tahun untuk meneruskan legasi perniagaannya yang telah diusahakan sejak tahun 70-an lagi secara berperingkat.

    Namun, apabila Daut diserang angin ahmar pada tahun 2013, anak-anaknya mula meminggirkan dia menyebabkan dia terpaksa menyara kehidupan serta rawatan kesihatannya sendiri dengan sisa baki kudrat yang ada.

    Daut dikurniakan empat anak lelaki dan tiga anak perempuan hasil perkongsian hidup bersama dengan isteri pertama.

    Menurut Daut, dia telah diperdaya salah seorang anaknya yang menukar segala hak milik pegangan saham sebuah syarikat ladang ternakan ayam daging kepada nama anaknya itu, ketika dia berada dalam keadaan sakit dan tidak mampu berfikiran dengan waras.

    Malah, sebuah rumah miliknya di Cheras, yang dibeli dengan harga RM600,000, deposit overdraf perniagaan stesen minyak bernilai RM800,000, serta akaun simpanan semasa syarikat bernilai RM100,000 turut beralih tangan.

    Daut kini hidup menumpang kasih dengan isteri kedua serta tujuh anak tirinya di Taman Bidara Permai, Masjid Tanah, Ayer Keroh. Daut bersyukur kerana anak-anak tirinya begitu bertanggungjawab menjaganya walaupun dalam keadaan dirinya yang kini uzur.

    Peristiwa dihalau dan diherdik oleh anak perempuannya, masih segar dalam ingatannya meskipun insiden itu berlaku empat tahun yang lalu.

    Pada hari kejadian itu, Daut memandu seorang diri dan secara tiba-tiba minyak keretanya habis sebelum membuat keputusan untuk singgah di stesen minyak yang pernah dibinanya suatu ketika dulu sebelum diserahkan kepada anak perempuan kesayangannya itu.

    Daut berkata, hampir dua jam dia menunggu untuk mendapatkan minyak percuma, tetapi dia dihalau dan diherdik anaknya sendiri.

    “Di Kuala Sungai Baru empat tahun lepas, ketika saya bawa kereta minyak habis. Saya pergi ke stesen minyak minta pekerja di situ tolong isikan, tapi dia tak bagi sampailah ke malam.

    "Dekat dua jam saya tunggu, saya telefon dia, dia hentam saya balik. Saya yang bina stesen minyak tu. Saya hanya mampu berdoa kepada Tuhan,” katanya ditemui di Pejabat Pembela Barisan Nasional (BN) Kota Cemerlang Ayer Keroh bersama peguamnya Mohd Adli Ithnin.

    Menurut Pengarah Pembela BN Negeri, Amir Hamzah Aziz, isu Daut pernah dibawa ke mahkamah pada tahun 2014 sebelum memutuskan hak tanah perusahaan reban ayam seluas 10 ekar perlu diserahkan sepenuhnya kepadanya. Namun, September lalu, reban ayam yang merupakan satu-satunya sumber pendapatan harian warga emas itu dirampas semula oleh anak-anaknya.

    Harapan Daut hanyalah keadilan untuk dirinya bagi meneruskan sisa hidup yang berbaki.-The Reporter

    Subjects:

  • No Comment to " 'Saya Diherdik & Dihalau Bagaikan Anjing Kurap' "