• Saudi Batal Larangan 35 Tahun, Pawagam Pertama Dijangka Beroperasi Mac

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    RIYADH: Arab Saudi membatalkan larangan membuka pawangam yang dilaksanakan sejak 35 tahun lalu, semalam.

    Riyadh berkata, pawagam pertama boleh memulakan tayangan seawal Mac depan, sebagai sebahagian daripada usaha pembaharuan liberalisasi yang menyaksikan kebenaran untuk penganjuran konsert, pertunjukan komedi dan wanita dibenarkan memandu sejak tahun lalu.

    Pawagam dilarang beroperasi pada awal 1980-an di bawah tekanan kumpulan Islamis ketika negara itu menuju ke arah agama berbentuk konservatif yang tidak menggalakkan hiburan awam dan pergaulan lelaki serta wanita di khalayak ramai.

    Tetapi, pembaharuan yang diketuai Putera Mahkota berusia 32 tahun, Mohammed bin Salman menyaksikan pelbagai sekatan dibatalkan dalam usaha memperluaskan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan kepada minyak.

    “Pembukaan pawagam akan bertindak sebagai pemangkin untuk pertumbuhan dan kepelbagaian ekonomi,” kata Menteri Kebudayaan dan Penerangan, Awwad bin Saleh Alawwad.
    “Dengan membangunkan sektor budaya lebih luas, kita akan mewujudkan peluang pekerjaan dan latihan baharu, juga menambah pilihan hiburan di negara ini.”

    Riyadh bagaimanapun berkata, filem akan ditapis bagi memastikan ia “sejajar nilai dan prinsip ditetapkan serta tidak bercanggah undang-undang syariah dan nilai moral di negara ini”.

    Maklumat mengenai penapisan itu tidak diumumkan, tetapi ia mungkin berskala besar di negara yang sering memotong imej wanita dalam iklan.

    Tiada maklum balas daripada kumpulan konservatif dan agamawan Wahabi yang sebelum ini berang dengan cadangan membenarkan pawagam beroperasi semula dan menyuarakan bantahan melalui kempen media sosial.

    Bantahan awam terhadap pembaharuan itu tidak diluahkan secara lantang dalam tempoh beberapa bulan ini, selepas pihak berkuasa melancarkan satu siri operasi bagi menahan pengkritik program berkenaan.

    ‘Pawagam satu keseronokan’

    Sehingga kini, perintis filem di Arab Saudi terpaksa menumpukan pasaran luar untuk mempersembahkan karya mereka.

    “Arab Saudi sering berada dalam berita, tetapi adalah baik untuk menjadi tumpuan berita dalam cara ini,” kata Pengarah berpangkalan di Los Angeles, Haifaa Al Manour yang mengeluarkan filem bertajuk “Wadjda” pada 2012 di mana penggambaran sepenuhnya dilakukan di negara itu.

    “Saya rasa kami akan menghidupkan semula keadaan di Mesir pada 1950-an,” katanya merujuk ledakan penerbitan filem di negara yang kini menjadi tumpuan pawagam popular di rantau itu.

    “Jika anda mahu memerangi keganasan, anda perlu membenarkan rakyat mencintai kehidupan. 
    Nikmat kehidupan datang daripada kegembiraan dan pawagam menyeronokkan.”

    Ribuan warga Arab Saudi terpaksa pergi ke Bahrain, Emiriah Arab Bersatu dan negara lain untuk tujuan hiburan. Riyadh berhasrat mengekalkan wang yang dibelanjakan rakyatnya di negara lain.

    Rantaian pawagam serantau turut menyasarkan pasaran Saudi dan berhasrat menangani kuasa berbelanja golongan muda yang terdiri daripada 70% populasi negara itu.

    Pengusaha pusat beli-belah berpangkalan di Dubai, Majid Al Futtaim yang memiliki rantaian pawagam VOX menyuarakan hasrat membuka pawagam pertama di negara itu.

    “Kami sangat gembira dengan pengumuman ini, kami menunggunya untuk sekian lama,” kata Ketua Eksekutifnya, Alain Bejjani.

    Riyadh menjangkakan lebih 300 pawagam dengan lebih 2,000 skrin dibuka menjelang 2030 yang boleh menyumbang lebih 90 bilion riyal (RM97.95 bilion) kepada ekonomi negara itu dan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan tetap pada tempoh sama.

    Sebuah suruhanjaya yang dipengerusikan Alawwad akan mengumumkan butiran mengenai pelesenan dan peraturan dalam beberapa minggu lagi.

    Lokasi pawagam pertama masih dalam kajian dan kemungkinan dibuka di kawasan berpopulasi besar, kata Penyelia Pawagam di Suruhanjaya Awam Audiovisual Media, Fahad al-Muammar kepada stesen televisyen kerajaan, al-Ekhbariya. - FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Saudi Batal Larangan 35 Tahun, Pawagam Pertama Dijangka Beroperasi Mac "