• Sasaran 5 Juta Kektar Hutan Menjelang 2020

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung, Datuk Nor Akhirrudin Mahmud berkata sehingga kini kawasan hutan simpan kekal mencapai keluasan 4.9 juta hektar menghampiri sasaran 5 juta hektar di Semenanjung menjelang 2020.

    Beliau berkata pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan dalam memastikan baki sasaran 1 juta hektar dapat dicapai.

    “Ini adalah angka yang baik untuk Semenanjung dan ini merupakan sasaran jabatan. Antara tanaman yang kita tanam adalah pokok meranti, damar, medang dan kelat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Warga Jabatan Perhutanan Semenanjung di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Nor Akhirrudin berkata sasaran itu dapat dicapai menerusi projek pemetaan kawasan berhutan menggunakan satelit dan dron bagi mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk dijadikan hutan simpan kekal.

    “Kita akan hantar kertas cadangan kepada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri pada Mac depan dan berharap projek ini dapat dilaksanakan selewat-lewatnya tahun depan,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya juga giat melaksanakan program restorasi tebus guna dan pemulihan kawasan darat di tiga kawasan yang terjejas akibat hakisan iaitu di Cameron Highlands, Lembangan Sungai Kelantan dan Janda Baik.

    Di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) untuk tempoh lima tahun iaitu 2016 hingga 2020, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan rehabilitasi dan restorasi kawasan hutan di Semenanjung.

    Nor Akhirrudin berkata pihaknya turut mengadakan pendekatan pintar dalam usaha memulihkan kawasan hutan dan penanaman semula pokok dengan mengadakan konsep penswastaan dan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).

    Katanyakaedah proaktif itu dapat melancarkan usaha kerajaan bagi meningkatkan keluasan hutan di negara ini. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Sasaran 5 Juta Kektar Hutan Menjelang 2020 "