• Sarjan didakwa terima, minta suapan RM2,800

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    IPOH – Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima dan meminta rasuah melibatkan wang tunai berjumlah RM2,800 dua tahun lalu.

    Tertuduh, Ahmad Salimin Jamian, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima rasuah wang tunai RM50 daripada A. Theepan sebagai dorongan membeli makanan dan rokok kepada Theepan yang ditahan reman di Balai Polis Taiping atas kesalahan merusuh.

    Bagi pertuduhan kedua, Ahmad Salimin didakwa menerima rasuah wang tunai RM450 Theepan sebagai dorongan untuk tidak menangkap S. Puaneswary.

    Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima rasuah wang tunai RM500 daripada A. Sandanasamy sebagai dorongan untuk mengeluarkan Theepan yang ditahan reman atas kesalahan merusuh.

    Mengikut pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menerima rasuah wang tunai RM800 daripada Theepan sebagai dorongan untuk membebaskannya dengan jaminan polis.

    Tertuduh turut didakwa meminta rasuah wang tunai RM1,000 daripada S. Pathinathan sebagai dorongan unuk membebaskan G. Bleminah atas kesalahan merusuh.

    Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di bilik tertuduh di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping dekat sini antara pukul 11.30 pagi 26 Jun hingga 2.30 petang 29 Jun 2015.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 24 akta sama yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut jumlah yang paling tinggi jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Sarjan didakwa terima, minta suapan RM2,800 "