• Sarawak Miliki Tanah Luas, Tapi Masih Import Makanan

    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    Dengan keluasan 124,450 kilometer persegi, ada pihak berpendapat rakyat Sarawak terlalu khayal melayan isu tanah yang menjadi propaganda pembangkang sehingga mereka tidak dapat mengusahakan tanah yang ada untuk menampung permintaan makanan, apatah lagi untuk tujuan komersil.

    Pelbagai isu tanah dibincangkan setiap hari tidak kira di laman sosial mahupun di kedai kopi namun terlalu sedikit untuk kita lihat perbincangan berkaitan kaedah menjana pendapatan dari sumber pertanian mahupun potensi pasaran tempatan.

    Agak ironis bila setiap hari kita berbicara tentang minyak dan gas yang jauh di lautan, tetapi tidak mampu memajukan tanah di depan mata, sehingga kerajaan terpaksa mengimport sumber makanan dari luar negara.

    Masyarakat terutama golongan muda perlu mengubah cara persepsi terhadap sektor pertanian kerana peluang yang ada pada masa ini masih amat luas untuk diterokai.

    Sektor pertanian yang seringkali dikaitkan dengan kemiskinan dan kehidupan penduduk luar bandar harus diubah kerana persepsi seperti ini amat merugikan.

    Rakyat perlu bangkit merebut peluang yang terdapat dalam sektor pertanian yang kini menggunakan teknologi tinggi, amalan pengurusan yang moden dan mampu menjana pendapatan yang lumayan.

    Menyedari hakikat ini, kerajaan secara konsisten memberi peluang serta mencari jalan untuk membantu rakyat yang ingin menceburi sektor pertanian.

    Sebagai contoh pada Ogos tahun ini, seperti dipetik media tempatan Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu menjelang tahun 2018 peruntukan sebanyak RM100 juta akan diagihkan kepada pekebun kecil sebagai modal teroka dalam memajukan sektor pertanian luar bandar.

    Kerajaan turut memberi pertolongan kepada rakyat untuk memasarkan produk pertanian dengan mewujudkan kawasan pengeluaran makanan (food basket) bagi membantu mereka menjual produk hingga ke peringkat antarabangsa.

    Dengan pelaksanaan ekonomi digital oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg, sudah pasti potensinya semakin luas dan mampu membawa pulangan yang lumayan. Banyak siri lawatan ke luar negara dilakukan bagi meneroka peluang supaya hasil pertanian dan perladangan kita dapat dipasarkan keluar negara.

    Sedihnya, apabila pemimpin mengumumkan peluang dan bantuan seperti itu, ramai yang mendakwa semua itu hanyalah pembohongan. Akhirnya pihak yang menganggap pembohongan terus ketinggalan akibat persepsi sempit.

    Lupakan soal tanah. Kerajaan negeri telah melantik individu yang paling layak untuk menyelesaikan masalah tuntutan tanah sedia ada. Mereka akan menyelesaikan isu ini mengikut lunas undang-undang.

    Adalah lebih baik sekiranya kita memberi perhatian mengusahakan industri pertanian dan perladangan berbanding membuang masa membincangkan persepsi negatif yang tidak diketahui kebenaran bahkan, perbincangan mengenainya tidak akan berpenghujung.

    Peluang dan bantuan yang disediakan perlu direbut. Sekiranya rakyat tidak mahu bertindak, enggan bekerjasama dan enggan memberi sambutan, tidak kira apa pun yang dilakukan oleh pihak kerajaan, kita akan kekal di takuk lama. 

    Bertindak, guna dan rebutlah peluang dan bantuan yang ada. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. - Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Sarawak Miliki Tanah Luas, Tapi Masih Import Makanan "