• Sarawak Komited Pulihara Aset Warisan

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+

    PETRA JAYA: Kajian menyeluruh perlu dilaksanakan terhadap ordinan warisan sedia ada, khusus bagi merangka semula dasar kawal selia dan usaha pemuliharaan yang lebih inklusif segala aset warisan di negeri ini.

    Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata inisiatif itu juga bagi memastikan pengurusan aset warisan negeri yang lebih konsisten, selain skop kerja yang lebih fokus agar tidak bertindih dengan fungsi Muzium Sarawak.

    "Kita memerlukan satu keseimbangan antara aspek pembangunan seiring tuntutan kemajuan sosio-ekonomi negeri dengan usaha pemuliharaan segala aset warisan dimiliki yang juga komponen terpenting sebagai asas pembentukan bangsa dan budaya.

    "Ini hanya dapat kita laksanakan melalui satu rangka pengurusan warisan yang sistematik bagi mencapai hala tuju ditetapkan," katanya selepas menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Warisan Sarawak (PWS) di Bangunan Baitulmakmur, di sini, hari ini.

    Kunjungan PWS yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Robert Jacob Ridu susulan pertemuan bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini, baru-baru ini.

    Sementara itu, Jacob memberi respons positif terhadap cadangan dikemukakan Abdul Karim, sambil menjelaskan bahawa dengan perancangan inovatif, keutuhan warisan budaya dan warisan negeri ini dapat dipulihara.

    "Kita sudah berbincang pelbagai isu pengurusan warisan dengan beliau (Abdul Karim) dan mendapati pandangannya selari dengan rancangan serta hasrat kerajaan negeri untuk pengurusan warisan Sarawak.

    "Antara dicadangkan ialah kajian semula dasar warisan sedia ada, termasuk menggunakan perunding bebas membabitkan aspek penilaian teknikal bangunan serta mendokumenkan aset warisan dalam 'zon warisan' yang ditakrifkan di Kuching," katanya.

    Hasil kajian seperti itu akan memberikan input bernilai bagi pengurusan warisan dan perancangan bandar.

    "PWS juga menggesa peruntukan lebih banyak daripada dana kerajaan untuk mengekalkan tapak warisan milik kerajaan yang tersenarai serta memberi insentif kepada pemilik swasta untuk mengekalkan aset warisan mereka," katanya.

    PWS adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang misi penubuhannya bertujuan mempromosikan usaha pemuliharaan dan pengurusan mampan aset warisan kesenian dan kebudayaan di negeri ini, termasuk bangunan dan monumen bersejarah. - BHOnline
  • No Comment to " Sarawak Komited Pulihara Aset Warisan "