• Sarawak Kecewa Tiga Sukan Teras Tidak Dipertandingkan Pada SUKMA Perak

    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+
    KUCHING, 14 Dis (Bernama) -- Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan kecewa dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggugurkan tiga acara sukan teras (sepak takraw, angkat berat dan taekwondo) daripada senarai utama acara untuk dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak.

    Menurut Snowdan, badan induk sukan negara itu perlu melihat kesannya terhadap tindakan yang dilakukan itu secara menyeluruh.

    Snowdan menyifatkan, keputusan menggugurkan tiga acara sukan teras itu nyata memberi kesan yang begitu besar sekali terutama kepada setiap pasukan atau negeri-negeri yang telah melabur besar dalam membuat persiapan untuk menghadapi Sukma 2018.

    "Paling ketara kesannya kepada atlet daripada tiga sukan berkenaan yang telah gigih berlatih demi untuk memastikan mereka terpilih mewakili negeri masing-masing dan juga bagi negeri yang telah mengambil jurulatih berkualiti untuk membentuk pasukan masing-masing.

    "Pada pandangan saya pihak KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu mengadaptasi pendekatan digunakan oleh penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk dengan hanya mengharamkan penyertaan atlet yang terbabit dengan doping, namun tidak menghentikan penganjuran temasya berkenaan, " ujar beliau.

    Snowdan berkata jika masalah ini berlaku di peringkat kebangsaan ia tidak seharusnya melibatkan negeri lain.

    "Ambil contoh tindakan jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk yang hanya menyekat penyertaan Rusia kerana atlet mereka terbabit dengan isu doping tetapi tidak menghentikan penganjuran sukan tersebut.

    "Bagaimanapun, atlet Rusia masih boleh bertanding atas tiket persatuan secara individu dan tidak boleh bertanding atas nama negara, " kata beliau.

    Menurut Snowdan, ia adalah sebagai bersikap adil kepada mereka yang tidak terlibat dengan penggunaan bahan terlarang itu. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Sarawak Kecewa Tiga Sukan Teras Tidak Dipertandingkan Pada SUKMA Perak "