• Sarawak galak penerbangan terus dari Indonesia

    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+

    MIRI: Kerajaan negeri menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan dari negara jiran Indonesia melakukan penerbangan terus ke negeri ini untuk membawa masuk lebih ramai pelancong negara itu datang ke Sarawak.

    Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin berkata, penerbangan terus Pontianak-Miri menggunakan pesawat Express Air adalah petunjuk baik hubungan dua hala Malaysia-Indonesia dalam menggerakkan industri pelancongan.

    Beliau berkata, penerbangan terus seperti yang dilakukan ke bandaraya Miri dari Pontianak, dua kali seminggu oleh Express Air bakal merancakkan sektor pelancongan khususnya di utara negeri ini.

    "Bukan saja Sarawak mendapat manfaat daripada penerbangan terus dari Pontianak, malah Indonesia juga bakal mendapat manfaat serupa.

    "Secara tidak langsung kedua-dua negara mendapat faedah daripada kerjasama baik dalam sektor pelancongan berkenaan," katanya mengulas mengenai penerbangan sulung Express Air ke Miri mulai Selasa lalu di sini, hari ini.

    Kim Shin berkata, Sarawak mahu supaya syarikat penerbangan sama turut mengadakan penerbangan terus dari destinasi lain di Indonesia, termasuk Bandung, Jokjakarta dan Bali.

    Beliau berkata, penerbangan terus sama ada dari Miri atau bandar utama lain di Sarawak akan memudahkan pergerakan pelancong antara dua negara.

    Katanya lagi, pelancong gemarkan penerbangan terus kerana ia menjimatkan masa dan kos perjalanan mereka melawat destinasi yang dituju.

    Justeru Sarawak katanya, menawarkan pelbagai destinasi menarik bertaraf dunia antaranya Taman Negara Mulu dan Taman Negara Niah.-BHOnline
  • No Comment to " Sarawak galak penerbangan terus dari Indonesia "